KETIKA ini Parti Keadilan Rakyat (PKR) berdepan dengan pemilihan timbalan presiden yang baharu. Kekosongan pemilihan timbalan presiden berlaku ekoran Azmin Ali bertindak keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Malaysia Bersatu (Bersatu). Azmin keluar parti bersama orang-orang kepercayaannya dalam PKR seperti Zuraida Kamaruddin, Saifudin Abdullah, Baru Bian, Kamarudin Jaffar, Mansor Othman, Rashid Hasnin, Santhara Kumar, Ali Biju, Wililie Mongin, Jonathan Yasin dan Xavier Jayakumar. Kesemua mereka ini adalah Ahli Parlimen PKR dan ini bermakna parti tersebut hampir lumpuh apabila 13 ahli parlimen mereka meletak jawatan.
PKR berada dalam keberantakan dan kesemua ini terdiri daripada pemimpin kanan parti dan ini menyebabkan kedudukan parti menjadi lemah. Bayangkan apabila Azmin Ali ketika menjadi timbalan presiden parti meletak jawatan, naib presiden, iaitu Zuraida Kamaruddin dan Xavier Jayakumar juga meletak jawatan. Begitu Ketua Wanita PKR Haniza Talha turut meletak jawatan, kemudian diikuti Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat, Dr. Daroyah Alwi, mengumumkan langkahnya keluar daripada parti itu. Ramai lagi dari kalangan pemimpin muda keluar parti termasuk Muhammad Hilman Idham dan Afif Baharudin.
Sebelum itu, PKR juga berada dalam keadaan terbiar apabila Rafizi Ramli dan Nurul Izzah yang dilantik sebagai naib presiden mengumumkan berundur daripada aktif politik ketika PKR memerlukan dua anak muda membantu parti.
Cabaran PKR terbesar ialah selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang sebagai kerajaan pada Februari 2020. Terdapat pergelutan dan krisis apabila masing-masing cuba menyalahkan antara satu sama lain. Tun Mahathir menyalahkan tekanan yang diberikan oleh pimpinan PKR akar umbi yang mahu Anwar Ibrahim cepat menjadi Perdana Menteri. Tun Mahathir dilihat seolah-olah cuba melengah-lengahkan penyerahan kuasa kepada Anwar. Maka berlaku gerakan menumbangkan PH dan pengkhianatan dalam PH pun berlaku. Apabila kerajaan baharu terbentuk, ramai Ahli Parlimen PKR yang keluar parti menyertai kerajaan tersebut. Pada pilihan raya negeri Melaka, Sarawak dan Johor memperlihatkan kedudukan PKR kelihatan sukar untuk pulih dan bangkit akibat pengkhianatan besar-besaran tersebut.
Yang lebih membimbangkan PKR ialah kini akan berdepan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa pada tahun ini. Ketika ramai pemimpin yang keluar, kini diadakan pula pemilihan parti pada ketika yang dilihat perlu dielakkan untuk mengadakan pemilihan parti. Hal ini dibimbangi akan menyebabkan perpecahan parti apabila calon-calon yang kalah pemilihan, penyokong-penyokong yang kecewa yang diharapkan menang tiba-tiba kalah akan melakukan protes dan boikot dalam bentuk undi pada pilihan raya umum nanti. Situasi ini menyebabkan parti-parti lain seperti UMNO tidak mahu mengadakan pemilihan parti selagi PRU belum diadakan dan ini menyebabkan UMNO meminda perlembagaan parti bagi memastikan pemilihan parti hanya akan diadakan selepas pilihan raya umum.
Persaingan sengit pemilihan PKR
Pemilihan PKR sangat sengit kerana ramai menjangka berlakunya pertembungan nama-nama besar dalam parti. Misalnya pertembungan Rafizi Ramli menentang Saifuddin Nasution. Rafizi menggunakan kekalahan PRN Melaka, Johor dan Sarawak sebagai alasan untuk beliau menawarkan kepimpinan baharu kepada parti. Beliau mengumumkan cai-cai atau senarai calon-calon yang membentuk pasukan Rafizi.
Apabila Rafizi mengumumkan orang-orangnya yang bertanding di pelbagai peringkat termasuk naib-naib presiden, Saifuddin pula bagi mengelakkan perpecahan parti PKR terus berlaku, beliau cepat-cepat mengumumkan bahawa mana-mana ahli yang tidak diumumkan sebagai cai Rafizi secara automatik akan menjadi pasukan Saifuddin. Langkah ini merupakan langkah perpaduan parti namun ini memberikan imej seolah-olah membuka ruang saki-baki yang pernah menyokong kepimpinan Azmin Ali terdahulu menyokong Saifuddin. Ini dijadikan peluru politik oleh penyokong Rafizi untuk melawan Saifuddin dalam siri kempen politik.
Rafizi atau Saifuddin?
Rafizi meletakkan Aminuddin Harun Menteri Besar Negeri Sembilan, Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekas Ahli Parlimen Kapar G Manivannan sebagai calon naib presiden dan Nurul Izzah turut memberikan sokongan terhadap kem Rafizi Ramli.
Saifuddin Nasution pula meletakkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai; Senator Fadhlina Sidek dan bekas aktivis siswa, Adam Adli Abd Halim sebagai pasukannya. Berdasarkan calon-calon tersebut ternyata setiap calon dikemukakan oleh kedua-dua pesaing ini mempunyai kualiti kepimpinan dan dianggap setia kepada perjuangan parti.
Bagi orang ramai lebih banyak mempunyai akses meneliti video-video kempen Rafizi dalam media sosial. Rafizi yang mempunyai pengalaman dalam kempen turut mempunyai Invoke bagi membantu kerja-kerja memberikan pencerahan politiknya. Ramai anak-anak muda terpengaruh dengan idea-idea Rafizi yang pandai memainkan sentimen penyokong dengan membawa pelbagai isu yang kurang jelas termasuk isu khemah besar, kekalahan PRN Sarawak, Melaka, dan Johor seolah-olah perlu dibebankan di bahu Saifuiddin sedangkan presiden PKR terlibat langsung dalam kepimpinan PKR.
Saifuddin pula mempunyai pengalaman sebagai setiausaha agung PKR, mempunyai kemahiran berunding dan sifat berdiplomasi serta kesetiaannya dalam parti lebih 23 tahun menjadi sandarannya untuk menjadi orang kanan presiden. Ketika ini dapat dilihat Saifuddin popular dalam kalangan Melayu kawasan-kawasan semi bandar dan bandar manakala Rafizi pula dilihat mempunyai penyokong besar di bandar-bandar besar.
Siapa menang?
Sebenarnya kemenangan mereka yang bertanding timbalan presiden ini bergantung kepada kumpulan mana yang menguasai kawasan yang mempunyai undi yang terbanyak. Negeri Selangor, Perak, Sabah dan Sarawak mempunyai keahlian PKR yang terbanyak dan melebihi 60 peratus daripada jumlah keseluruhan ahlinya yang layak memilih di seluruh negara. Bermakna mana-mana pihak yang menguasai ahli-ahli PKR negeri-negeri tersebut boleh memberikan kemenangan yang besar kepada pasukan mereka. Setakat ini mereka masih berkempen untuk memenangi calon-calon mereka. Sesiapa yang mempunyai kelebihan dalam menarik undi dalam kempen pemilihan mereka bermakna kemenangan ini akan berpihak kepada mereka. Sistem ‘satu ahli satu undi’ memberikan peluang kepada ahli PKR untuk memilih secara bijaksana. Mereka mempromosi senarai ‘cai’ masing-masing menggunakan media sosial termasuk melalui aplikasi WhatsApp atau akaun media sosial mereka bagi ‘memancing’ undi.
Kadar peratusan turun undi yang dikatakan rendah sekitar 9 hingga 11 peratus sahaja bukanlah isu besar dalam PKR kerana meskipun selepas PH menang dan menjadi kerajaan, kadar peratusan turun mengundi lebih kurang sama tinggi dengan kadar sekarang, iaitu sekitar 140,000 mengundi. Hal ini bermakna ahli PKR yang aktif politik yang mengundi daripada keahlian seramai sekitar satu juta orang.
Pada masa sama, terdapat undi fizikal dan undi atas talian. Jumlah undi atas talian dan fizikal sekitar hampir 50 peratus banyaknya. Undi fizikal dilihat lebih mudah dipujuk rayu kempen politik manakala undi secara maya dilihat lebih bebas memilih. Terdapat juga berlakunya pertindanan cai di peringkat cabang. Perkara ini dapat dilihat apabila terdapat yang mengundi tidak mengikut cai yang dikemukakan oleh kedua-dua calon dan ini menunjukkan semangat menyemarakkan demokrasi dalam pemilihan dan tidak mudah dipujuk rayu dan tawar menawar dalam politik. Sama ada Saifuddin Nasution atau Rafizi Ramli akan menang dalam pemilihan akan diketahui selewat-lewatnya pada hujung minggu ini!
Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)