ACSJ Ke-9 tawar hadiah RM56,000, 12 finalis bakal berentap

Facebook
WhatsApp
MESYUARAT jawatankuasa penganjuran ACSJ di Pejabat Residen Bahagian Betong, dekat sini semalam. Foto Uban Dana

BETONG: Sebanyak 12 finalis bakal berentap pada Anugerah Carta Sapa Juara (ACSJ) Ke-9 Peringkat Akhir yang akan berlangsung di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong pada 3 Oktober ini.

Pertandingan anjuran WAIfm Iban, RTM Sarawak itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM56,000, sekali gus menjadikan pentas berkenaan antara acara penting dalam mengangkat bakat dan karya muzik Iban.

Pengurus WAIfm Iban, RTM Sarawak, Monica Midi berkata, penganjuran ACSJ bukan sekadar memberi pengiktirafan kepada penyanyi, pencipta lagu dan penulis lirik Iban, malah turut menjadi platform memartabatkan industri muzik Dayak, khususnya muzik Iban.

Menurutnya, 12 finalis yang terdiri daripada 10 peserta solo dan dua kumpulan berjaya melangkah ke peringkat akhir selepas melalui saingan separuh akhir di Dewan Serbaguna Selangau, Sibu pada 1 Ogos lalu.

“ACSJ merupakan anugerah lagu Iban daripada program mingguan terbitan radio WAIfm Iban dan penganjuran kali ini menampilkan tujuh kategori pertandingan, termasuk satu kategori baharu iaitu Lagu ACSJ Paling Popular,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa penganjuran ACSJ di Pejabat Residen Bahagian Betong, dekat sini semalam.

Monica berkata, kategori baharu itu diperkenalkan susulan permintaan orang ramai, selain membuka ruang kepada pendengar untuk menentukan lagu pilihan mereka berdasarkan pelbagai kaedah penilaian.

Katanya, penilaian bagi kategori berkenaan merangkumi permintaan pendengar radio WAIfm Iban, maklum balas pengundi sepanjang tempoh lagu berada dalam carta, jumlah tontonan di media sosial serta undian terbuka dan tertutup.

Malam kemuncak ACSJ Ke-9 turut dijangka berlangsung meriah dengan persembahan para finalis bagi merebut kategori Persembahan Terbaik, selain persembahan istimewa artis veteran yang sudah lama tidak aktif dalam bidang nyanyian.

“Acara akan dimulakan dengan karpet merah pada jam 6 petang dan dijangka dihadiri ramai selebriti tempatan Sarawak,” katanya.

Malam kemuncak berkenaan akan disiarkan secara langsung menerusi saluran media sosial rasmi WAIfm Iban, RTM Klik serta radio WAIfm Iban.

Monica berkata, pihak penganjur menyasarkan lebih 10,000 penonton hadir secara fizikal, manakala siaran menerusi platform rasmi WAIfm Iban pula disasarkan mencatat lebih satu juta tontonan.

Pemilihan Betong sebagai lokasi penganjuran turut dilihat memberi peluang memperkenalkan bahagian berkenaan kepada pengunjung dari luar, selain merancakkan ekonomi setempat menerusi kehadiran usahawan, gerai jualan dan mini karnival.

“ACSJ Ke-9 juga menjadi medan kepada artis untuk berkongsi idea dan ilmu, menghasilkan lebih banyak karya serta menjana pendapatan melalui karya dan undangan persembahan,” katanya.

Penganjuran ACSJ Ke-9 merupakan kolaborasi WAIfm Iban RTM Sarawak bersama agensi kerajaan di Bahagian Betong dan akan dirasmikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan acara berkenaan dengan kemasukan adalah percuma.

Dua belas finalis yang akan berentap pada malam kemuncak itu ialah Ramles Walter menerusi lagu Dirantai Pengingat Manis, Donny Lang (Enda Mudah Aku Lengka), Dara Hellena (Perau Mit), Winnie Albert (Aku Ukai Lulong), Watt Rock (Terabai), Eyqa Saiful (Nadai Agi Pengerindu).

Selain itu Phoebe Chloe (Diempu Nuan Siku), Mawat (Dayang Bintang), Dayana Shini (Singkang), Joannes Johnny Aman (Nuan Bisi Intan Dikembuan), Masterpiece (Menyadi) dan Tanah Berenyang Band menerusi lagu Arissa.

Oleh Adi Safarman