ACSJ bukan sekadar pertandingan, platform perkasa muzik Iban

Facebook
WhatsApp
TAHNIAH…Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang merakam kenangan bersama peserta ACSJ Ke-9 di Dewan Serbaguna Selangau.

SELANGAU: Anugerah Carta Sapa Juara (ACSJ) bukan sekadar pentas pertandingan nyanyian, sebaliknya memainkan peranan lebih luas dalam memperkukuh ekosistem industri muzik Sarawak, selain menjadi medium penting bagi memastikan bahasa Iban terus hidup dan diwarisi oleh generasi akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang berkata, perkembangan industri muzik Iban perlu dilihat secara menyeluruh kerana ia bukan sahaja melibatkan penyanyi, malah merangkumi komposer, penulis lirik, pemuzik, jurutera muzik, penerbit, juruvideo, jurugambar, pereka grafik serta tenaga kerja di belakang tabir.

Menurutnya, rantaian ekosistem kreatif itu berpotensi membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada anak Sarawak, sekali gus menyumbang kepada perkembangan ekonomi kreatif negeri.

“ACSJ bukan sekadar mencari juara, tetapi menjadi platform yang menggerakkan keseluruhan industri muzik serta membuka peluang kepada lebih ramai anak Sarawak untuk membina kerjaya dalam sektor kreatif.

“Pada masa sama, lagu Iban bukan hanya untuk hiburan, tetapi turut memainkan peranan penting dalam menghidupkan bahasa Iban, mengajar generasi muda bertutur dalam bahasa Iban, memperkenalkan kosa kata serta mengangkat budaya masyarakat Iban kepada generasi baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Separuh Akhir Anugerah Carta Sapa Juara (ACSJ) Ke-9 di Dewan Serbaguna Selangau, di sini, semalam.

Gira berkata, sejarah menunjukkan terdapat bahasa di dunia yang semakin pupus bukan disebabkan ketiadaan kamus atau bahan rujukan, sebaliknya akibat semakin kurang digunakan dalam kehidupan seharian.

Justeru, katanya, penghasilan lagu Iban berkualiti perlu terus dipergiat bagi memastikan bahasa berkenaan kekal didengar dan digunakan sama ada di rumah, sekolah, radio, media sosial mahupun pelbagai platform lain.

Menurut beliau, usaha memperkukuh lagu Iban bukan sahaja penting dalam mempertahankan identiti masyarakat Dayak, malah menjadi sebahagian daripada usaha memelihara warisan budaya Sarawak untuk generasi akan datang.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan 22 peserta separuh akhir ACSJ Ke-9 agar tidak menjadikan keputusan pertandingan sebagai penentu perjalanan seni mereka, sebaliknya terus menghasilkan karya, meningkatkan kualiti vokal dan persembahan serta mengembangkan kemahiran dalam bidang muzik.

Beliau turut menghargai peranan RTM Sarawak, khususnya WAIfm Iban, yang konsisten menyokong perkembangan industri muzik Iban dengan menyediakan platform kepada bakat tempatan untuk diketengahkan.

Pada masa sama, katanya, sokongan kerajaan Sarawak khususnya menerusi Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan amat penting dalam memperkasa sektor kreatif menerusi penganjuran program, pembangunan bakat, latihan, promosi serta penyediaan peluang kepada artis tempatan.

“Pelaburan dalam industri kreatif bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor hiburan, malah mempunyai kesan lebih luas terhadap pemeliharaan budaya dan bahasa, pelancongan serta ekonomi negeri,” ujarnya.

Sehubungan itu, Gira berharap sokongan terhadap industri kreatif terus diperkukuh supaya lebih ramai anak Sarawak mampu menempa nama dalam industri muzik di peringkat nasional dan antarabangsa, sambil memastikan bahasa serta budaya tempatan terus berkembang seiring dengan arus kemodenan.

Oleh Tarani Lanting

FTES bukti komitmen Sarawak perkasa pendidikan

DARO: Pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) membuktikan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan setiap anak Sarawak yang berkelayakan berpeluang