KUCHING: Kongres Kesihatan Pekerjaan Asia Ke-24 (ACOH) 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama antara kerajaan, industri, akademia dan profesional kesihatan pekerjaan bagi menangani cabaran baharu dunia pekerjaan yang semakin kompleks.
Pengerusi ACOH 2026, Dr Abu Hasan Samad berkata, kongres yang bermula sejak 1956 telah berkembang menjadi forum antarabangsa yang menghimpunkan pakar dari pelbagai negara bagi berkongsi ilmu, membentuk dasar serta mempertingkat amalan kesihatan pekerjaan.
Beliau berkata, ACOH yang pertama kali dianjurkan di Tokyo, Jepun, 70 tahun lalu kini berkembang dengan penyertaan lebih 20 negara dari Asia dan luar rantau ini.
“Selepas 70 tahun, ACOH kini menjadi forum yang benar-benar bertaraf antarabangsa dengan penyertaan lebih 20 negara dari Asia dan luar Asia.
“Kali ini, kita berbangga kerana menerima penyertaan delegasi dari 33 negara,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian ACOH 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Beliau yang juga Presiden Akademi Perubatan Pekerjaan dan Alam Sekitar Malaysia (AOEMM) berkata, Malaysia pernah menjadi tuan rumah ACOH pada 1997 di Kuala Lumpur dan selepas 29 tahun, kongres itu kembali dianjurkan di negara ini, kali ini di Sarawak yang dikenali sebagai Bumi Kenyalang.
Dr Abu Hasan berkata, tema ACOH 2026, “Membentuk Masa Depan Mampan: Perspektif Global terhadap Kesihatan Pekerjaan“, amat bertepatan dengan perubahan pesat yang sedang berlaku dalam dunia pekerjaan masa kini.
Katanya, perubahan iklim, transformasi digital, kecerdasan buatan (AI), perubahan demografi, corak pekerjaan baharu serta kemunculan pelbagai risiko kesihatan pekerjaan memerlukan pendekatan baharu bagi memastikan kesejahteraan pekerja terus terpelihara.
“Cabaran ini tidak boleh ditangani secara bersendirian. Ia memerlukan kerjasama merentasi sempadan, disiplin dan sektor yang melibatkan kerajaan, akademia, profesional kesihatan, majikan, pekerja serta industri.
“Kita perlu membangunkan penyelesaian praktikal berasaskan bukti yang mampu melindungi pekerja pada masa ini, di samping menyediakan persekitaran kerja yang lebih selamat untuk masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, ACOH 2026 menyediakan ruang perbincangan mengenai pelbagai isu semasa, termasuk pendekatan silang budaya dalam perubatan pekerjaan, transformasi digital, perubahan iklim dan pekerjaan, tempat kerja yang selamat dari aspek psikologi, kesihatan pekerjaan dalam ekonomi tidak formal, pengurusan ketidakupayaan serta kebersihan industri.
Katanya, selain sesi ilmiah, aspek jaringan profesional dan perkongsian pengalaman antara peserta turut menjadi elemen penting dalam membina kerjasama jangka panjang.

“Sebahagian idea yang paling bermakna bukan sahaja lahir dalam sesi rasmi, malah menerusi perbualan, jaringan dan perkongsian pengalaman antara rakan dari negara serta latar budaya yang berbeza,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Abu Hasan menggalakkan peserta memanfaatkan peluang berada di Sarawak untuk mengenali kepelbagaian budaya, warisan unik serta keindahan alam semula jadi negeri ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak, kementerian dan agensi berkaitan, penaja, pempamer, rakan antarabangsa, jawatankuasa penganjur serta sukarelawan yang menjayakan penganjuran ACOH 2026.
ACOH 2026 berlangsung selama empat hari di BCCK dengan menghimpunkan pakar kesihatan pekerjaan, penyelidik, penggubal dasar dan pemimpin industri dari seluruh dunia bagi memperkukuh usaha mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat, sihat, inklusif dan mampan.
Oleh Afiq Sallehi




