SHEILA ZAIDI
KOTA SAMARAHAN : Operasi bersepadu pengesanan kes secara aktif (ACD) mungkin dijalankan di kawasan lain yang dikategorikan sebagai Zon Merah dan mempunyai pertambahan kes yang banyak di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk amar Douglas Uggah Embas berkata, melihat kepada keberkesanan operasi itu di Kota Samarahan dalam menjejak individu yang mempunyai gejala Covid-19, ia mungkin boleh dipraktikkan di kawasan yang lain.
“Pada hari pertama pelaksanaan operasi ini, lebih kurang 100 orang individu telah diarahkan untuk membuat ujian di pusat saringan yang disediakan.
“Dengan jumlah tersebut jika berjaya dikesan setiap hari, ia dilihat dapat membantu kita dalam menangani wabak ini secara lebih berkesan,” katanya kepada pemberita ketika turun padang menyaksikan operasi bersepadu ACD yang dijalankan di Taman Desa Ilmu dan Taman Uni Garden di Kota Samarahan semalam.
Menurut Uggah, jika operasi ini tidak dilakukan, mereka mungkin tidak menjalankan ujian saringan kerana kurang pasti dengan gejala yang dialami atau atas sebab-sebab tertentu.
Dua pusat saringan yang disediakan semasa operasi ini ialah di Masjid Desa Ilmu (secara pandu lalu) dan Tapak Pasar Malam Uni Garden.
Tambah Uggah, untuk operasi di Kota Samarahan itu, sebanyak 50 pasukan kesihatan yang ditugaskan untuk membuat saringan dari rumah ke rumah.
Individu yang didapati mempunyai gejala dan dikhuatiri mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19 sebelum ini akan diarahkan untuk membuat ujian saringan di dua pusat saringan khas yang disediakan ini, jelasnya.
Kata beliau, inidividu yang sudah menjalani ujian saringan akan dihubungi sekurang-kurangnya dalam tempoh 48 jam mengenai keputusan ujian oleh pegawai perubatan.
Taman Desa Ilmu dan Taman Uni Garden dianggarkan mempunyai lebih 3,000 keluarga dan jika pasukan berjaya membuat saringan di 500 buah rumah sehari maka operasi ACD ini dapat dilakukan dalam masa seminggu, ujarnya.
Selain itu beliau memberitahu, pasukan perubatan turut menyediakan 5,000 set ujian saringan di kedua-dua tempat.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, kedua-dua lokasi dipilih untuk operasi ACD ini kerana mencatatkan 20 kes positif dalam tempoh 14 hari sebelum ini.
Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan UKAS, Abdullah Saidol.