SIBU: Operasi Pengesanan Kes Aktif (ACD) yang disasarkan secara besar-besaran di zon Tiong Hua, dijangka akan bermula pada Rabu ini, kata Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) Dr. Annuar Rapa’ee.
Beliau berkata, ACD di zon Sentosa yang telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dari 27 Februari hingga 12 Mac, telah bermula semalam.
“JPBBS pada masa ini sedang melengkapkan mekanisme untuk melakukan pemeriksaan bagi memastikan semua kes positif dapat dikesan.
“Kami akan memulai ACD yang disasarkan untuk zon Tiong Hua pada hari Rabu, setelah mekanisme ini diteliti sepenuhnya.
“Senario di Tiong Hua sangat berbeza dengan tempat lain, sebab itu kami mahu memastikan penduduk di sana diuji,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Farmasi Pandu Lalu di Klinik Kesihatan Jalan Oya, semalam.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Negara (Senator) Robert Lau, Residen Bahagian Sibu Charles Siaw dan Pegawai Farmasi Klinik Kesihatan Jalan Oya Chang Poh Yin.
Sehubungan itu, beliau memohon orang ramai supaya memberi kerjasama kepada pihak petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan operasi ACD berkenaan berjalan lancar.
Beliau menambah, penduduk yang berada di dalam kawasan yang dikenakan sekatan pergerakan, mereka yang berada di kawasan berisiko tinggi atau mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan kes positif Covid-19, harus segera menjalani ujian calitan.
Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) pada hari Ahad mengatakan bahawa pecahan kes baru mengikut daerah merekodkan Sibu masih menduduki tempat teratas.
Kenyataan media JPBN semalam melaporkan sebanyak 33 kes dilaporkan di Sibu, yang mana 22 daripadanya adalah hasil operasi ACD, 10 dari pemeriksaan sukarela dan satu dari pesakit yang mengalami gejala.
Oleh NURZILLA MOHAMAD