
LINGGA: Acara perlumbaan bot kuasa tinggi (Power Boat Racing) sempena Regata Lingga 2025 dibatalkan bagi edisi kali ini atas faktor keselamatan, susulan kerja pembinaan Tebingan Lingga fasa dua yang sedang giat dijalankan di sepanjang Sungai Lingga.
Menurut Jawatankuasa Induk Regata Lingga 2025, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat pada 15 Oktober lalu selepas mengambil kira risiko terhadap pelumba serta keselamatan penonton di kawasan terbabit.
“Keselamatan peserta dan pengunjung menjadi keutamaan kami. Justeru, keputusan ini dibuat bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” jelas kenyataan jawatankuasa berkenaan hari ini.
Walaupun acara Power Boat Racing digugurkan, Regata Lingga 2025 tetap akan berlangsung dengan meriah dari 12 hingga 14 Disember 2025 di Pekan Lingga, menampilkan lebih 20 acara sukan dan hiburan, termasuk majlis perasmian, acara kemuncak dan penutupan rasmi.
Jawatankuasa turut menzahirkan penghargaan kepada para peminat sukan air atas sokongan padu terhadap penganjuran regata yang kini memasuki edisi ketiga itu.
Oleh Adi Safarman