PETRA JAYA: Majlis Perasmian Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) ke-21 bakal menjadi platform bagi menyerlahkan bakat anak-anak Sarawak, khususnya dari pelbagai peringkat usia dan latar belakang.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata persembahan yang akan dipersembahkan malam esok bukan sahaja menampilkan seni dan budaya negeri ini, malah turut menjadi medan bagi kanak-kanak dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk mempamerkan kebolehan mereka.
Katanya, acara tersebut memberi peluang kepada anak-anak kecil dari prasekolah hingga sekolah menengah untuk menonjolkan bakat mereka dalam bidang seni persembahan.
“Majlis ini adalah platform penting untuk kita menunjukkan bahawa dengan peluang dan latihan yang betul, anak-anak kita boleh mencapai tahap profesional.
“Contohnya, kita ada Syafieqah Marzuki dari Sibu, seorang penyanyi berbakat yang diberi peluang untuk tampil di pentas besar ini,” katanya selepas sesi raptai penuh acara perasmian Para SUKMA di Stadium Perpaduan, di sini malam tadi.
Beliau menegaskan bahawa acara ini juga menampilkan elemen inklusiviti dengan penglibatan 350 peserta daripada pelbagai peringkat umur, termasuk pelajar dari Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo serta golongan OKU.
“Kami mahu menjadikan pentas ini bukan hanya untuk menonjolkan bakat, tetapi juga untuk menyerlahkan kesepaduan dan kebolehan anak Sarawak, termasuk OKU, yang telah berjaya menempah nama di peringkat antarabangsa,” tambahnya.
Fatimah berharap Para SUKMA 2024 dapat terus menjadi platform untuk bakat-bakat tempatan bersinar, selain menggalakkan sokongan masyarakat kepada atlet-atlet para yang akan bertanding.
Beliau juga percaya sokongan ini akan memberi motivasi kepada para atlet untuk memberikan yang terbaik.
Untuk rekod, Para SUKMA XXI Sarawak 2024 menyaksikan penglibatan seramai 1,290 atlet Para terdiri daripada 982 atlet lelaki dan 308 atlet para wanita.
Daripada jumlah tersebut, 143 atlet Para lelaki dan 70 atlet Para wanita merupakan atlet Para Sarawak.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti yang juga Chief De Mission Kontinjen Para SUKMA Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam.
Oleh SHAHRUL QAIZAT