Acara luar mungkin dibatalkan jika jerebu bertambah buruk

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika sidang media selepas Majlis Pendedahan Kalendar Festival WAK 2026 di sebuah pusat beli-belah, di Kuching hari ini.

KUCHING: Beberapa acara luar yang dijadualkan berlangsung di Sarawak berkemungkinan dibatalkan sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengambil kira keadaan kualiti udara semasa dan bersedia melaksanakan langkah sewajarnya sekiranya keadaan menjadi lebih serius.

“Kita sangat bersedia sekiranya keadaan tiba-tiba bertambah buruk. Jika kita perlu membatalkan acara berkenaan, kita akan batalkan, tetapi saya berharap kita tidak sampai pada keadaan seperti itu,” katanya pada sidang media selepas majlis pendedahan kalendar Festival WAK 2026 di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Menurut Abdul Karim, kebanyakan acara yang mendapat sokongan kementeriannya kini dilaksanakan di lokasi tertutup dan tidak banyak terjejas akibat keadaan jerebu.

Katanya, bagaimanapun, acara luar seperti Regata dan Perahu Naga Antarabangsa kekal terdedah kepada keadaan kualiti udara dan perlu mengambil kira situasi semasa sebelum diteruskan.

“Kita hanya boleh berdoa dan berharap keadaan tidak menjadi lebih buruk,” katanya.

Abdul Karim berkata, keadaan jerebu juga bersifat sementara dan boleh berubah dalam tempoh singkat bergantung kepada arah tiupan angin.

“Sebaik sahaja arah angin berubah, keadaan jerebu boleh hilang. Kita berharap keadaan akan kembali baik apabila tiba masa acara-acara tersebut berlangsung,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa dan penganjur akan terus memantau keadaan sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan penganjuran acara luar.

Oleh Shikin Mahmud