
BINTULU: Acara akuatik Sukan Olimpik Khas Kebangsaan menutup tirainya hari ini dengan pencapaian membanggakan apabila kontinjen Sarawak berjaya merangkul 10 pingat emas secara keseluruhan.
Ketua jurulatih akuatik Sarawak, Michael Chang, menyifatkan saingan kali ini berlangsung dalam semangat kesukanan yang tinggi meskipun berdepan cuaca panas.
Menurut beliau, prestasi yang dipamerkan bukan sahaja membanggakan Sarawak, malah turut melibatkan atlet dari negeri lain yang menunjukkan peningkatan ketara termasuk memecahkan rekod peribadi masing-masing.
“Walaupun hari ini sangat panas, tetapi ia amat memuaskan kerana kebanyakan atlet, bukan sahaja dari Sarawak tetapi juga negeri lain, menunjukkan semangat yang sangat baik dan ada yang berjaya memecahkan rekod sendiri.
“Malah ada antara mereka sudah mampu bersaing setanding dengan atlet normal dari segi teknik dan prestasi, hasil usaha jurulatih serta sokongan keluarga dan rakan-rakan,” katanya ketika ditemui selepas tamat acara di Kolam Renang Awam Bintulu, hari ini.

Beliau menambah, pencapaian Sarawak dalam acara akuatik kali ini memberikan sumbangan besar kepada pungutan mata keseluruhan kontinjen negeri.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kepentingan menyediakan platform kepada atlet berkeperluan khas untuk menyerlahkan bakat dan menikmati pengalaman bertanding.
“Kalau kita lihat, ketika waktu rehat pun mereka menari dan menyanyi bersama, jelas mereka sangat menikmati suasana pertandingan.
“Itulah semangat yang kita mahu, bukan sahaja bersaing tetapi juga bergembira, membina keyakinan diri dan menjalinkan persahabatan dengan atlet dari negeri lain,” ujarnya.
Tambah beliau, interaksi antara jurulatih dari pelbagai negeri juga membuka ruang untuk berkongsi pandangan dalam usaha meningkatkan lagi prestasi atlet pada masa akan datang.
Setakat jam 5.00 petang, Sarawak secara keseluruhan telah mengumpul 24 pingat emas, 23 perak dan 16 gangsa daripada pelbagai acara yang dipertandingkan.
Oleh Shahrul Qaizat