
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak veteran Abon yang kini menyepi daripada industri seni tanah air mengakui lebih selesa dan tenang dengan kehidupan yang dilaluinya sekarang dengan memberi fokus kepada perniagaan roti yang dihasilkannya.
Walaupun tidak lagi muncul di kaca televisyen berikutan kurangnya tawaran berlakon yang diterima namun, Juara Maharaja Lawak Mega 2011 itu berkata beliau masih lagi aktif dalam bidang pengacaraan terutama bagi majlis korporat.
Menurut Abon, keputusan untuk keluar daripada arus perdana dunia seni dibuat selepas merasakan ruang untuk artis lama seperti dirinya semakin mengecil dan kehadiran bakat baharu, khususnya mereka yang popular di media sosial, lebih diberi peluang dan perhatian.
“Saya dibesarkan dalam industri ini, tentunya saya sayang, tetapi keadaan (semasa) mengasak saya untuk keluar. Jadi saya cuba di luar, alhamdulillah saya rasa senang.
“Walaupun kini tidak seaktif dahulu, tidak kerap keluar masuk televisyen, rezeki saya masih ada. Selalunya, jika dipanggil menjadi pengacara untuk acara seperti karnival dan sebagainya, saya akan bawa roti-roti saya untuk dijual di sana. Dapatlah menambah pendapatan,” katanya.
Pemilik nama Shahrizan Ahmad, 64, ini mengakui walaupun sudah tidak aktif dalam bidang lakonan, beliau sentiasa mengikuti secara dekat perkembangan dunia hiburan tanah air terutama pelakon-pelakon baharu yang mewarnai industri.
Berpengalaman selama lebih 30 tahun dalam industri, Abon melihat peluang yang dimiliki pelakon dan bakat muda hari ini lebih luas berbanding zamannya kerana banyak platform untuk mereka mengembangkan bakat masing-masing.
Apa yang perlu dilakukan oleh pelakon-pelakon baharu ini adalah melengkapi diri dengan ilmu lakonan secukupnya agar dapat menjayakan sesuatu watak dengan lebih berkesan, katanya.
“Peluang yang mudah diraih hari ini seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin dan bukan sekadar mengejar populariti semata-mata. Kalau sudah ada nama, belajarlah, supaya tahu teknik lakonan, cara kerja, disiplin dan nilai seni sebenar. Barulah dapat menjadi pelakon yang baik.
“Ada segelintir bakat baharu ini langsung tidak menghormati protokol penggambaran dan tidak menepati masa. Sikap sebegini memberi kesan kepada tenaga kerja lain termasuk pelakon senior yang sudah bersedia lebih awal di set penggambaran. Kadang-kadang kita sampai awal, tunggu sampai dua jam, apabila sudah penat, semangat pun hilang,” katanya.
Walaupun mengakui tidak semua artis baharu bersikap demikian, pelawak kelahiran Jasin, Melaka itu berharap disiplin dan kesungguhan bekerja dalam kalangan bakat-bakat baharu ini dapat terus ditingkatkan. – Bernama