KUCHING: Agro Bazaar Online (ABO) Trading Sarawak di Pusat Komersial Swan Matang di sini menjadi hub pertama di Malaysia yang menghimpunkan produk usahawan luar bandar yang akan dijual secara dalam talian.
Pengurus Projeknya, Zamahari Hanapi berkata projek perintis itu adalah hasil cetusan idea daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sarawak untuk membantu usahawan luar bandar yang sukar memasarkan produk mereka.
“Projek ini masih dalam fasa pertama dan dalam masa 12 bulan akan datang, kita akan mengembangkan usaha ini ke Sarikei, Miri dan Sibu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan Agroxpress Delivery Box Agro Bazaar Online, Pelancaran Jualan Pra-Aidiladha Agrobazaar Online dan ABO Trading Sarawak di sini, semalam.
Majlis itu disempurnakan Pengarah FAMA Sarawak, Dato’ Dr Mat Sani Hassan serta Timbalan Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Rudzaimier Malek.
Tambahnya, setakat ini seramai 70 usahawan berjaya dihimpunkan di ABO Trading Sarawak dengan pelbagai jenis produk keluaran mereka.
“ABO Trading Sarawak menekankan penglibatan usahawan dari luar bandar seperti Lubok Antu dan Sarikei yang sebelum ini sukar untuk memasarkan hasil produk.
“Dengan tertubuhnya ABO Trading Sarawak ini, maka produk usahawan berkenaan akan kita pasarkan secara dalam talian dan selepas itu, pihak kita akan menggunakan motosikal untuk menghantar barangan tersebut ke rumah pelanggan,” ujarnya.
Dalam pada itu, pihaknya juga akan menyediakan latihan kepada usahawan yang kurang ilmu dalam bidang pemasaran dengan mendidik mereka dan berkongsi tips untuk memasarkan produk.
Mereka yang berminat untuk membeli atau mendapatkan produk usahawan ABO Trading Sarawak, boleh layari laman sesawang www.agrobazaar.com.my.
Ia adalah hasil daripada usahawan ABO Sarawak dan peniaga tempatan yang mengetengahkan hasil kreativiti mereka bagi memenuhi citarasa pelanggan yang berbeza dalam mencari kelainan dari segi rasa, rupa bentuk dan harga.
Oleh Nur Ain Otsman