KUALA LUMPUR: Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) menggesa peminjam yang menghadapi masalah kewangan dalam memenuhi komitmen hutang mereka untuk menghubungi bank masing-masing bagi berunding pilihan bantuan pembayaran balik antara 7 Ogos dan 7 September 2020.
Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata peminjam dinasihati untuk memohon bantuan itu lebih awal untuk memberi masa yang mencukupi bagi membincangkan dan mengesahkan pilihan dan agar bantuan pembayaran dilakukan tepat pada waktunya untuk ansuran bulan Oktober 2020.
“Peminjam/pelanggan digalakkan untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada laman web bank atau platform media sosial rasmi bank-bank tersebut.
“Bank-bank akan menghubungi peminjam/pelanggan namun kami menasihati agar berhati-hati dengan taktik penipuan dan hanya respons menerusi saluran bank yang rasmi sahaja,” katanya.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan lanjutan moratorium tiga bulan pembayaran balik pinjaman bagi mereka yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 berikutan impak daripada pandemik Covid-19 dan masih belum mendapat pekerjaan baharu manakala yang selebihnya kerajaan akan melaksanakan pendekatan bersasar.
Ia berkata peminjam juga dinasihatkan untuk tidak berurusan dengan pihak ketiga yang mengaku sebagai ejen atau wakil bank mengenai perkara yang berkaitan dengan bantuan pembayaran balik.
Selain itu, industri perbankan menyambut baik pengumuman daripada kerajaan untuk menamatkan moratorium tersebut dan mengambil pendekatan pemberian bantuan secara bersasar, katanya.
“Industri perbankan telah bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia untuk memastikan bantuan terus disampaikan kepada peminjam yang terjejas.
“Bank-bank telah memberi sokongan kepada peminjam/pelanggan melalui persekitaran ekonomi yang mencabar semenjak bermulanya penularan Covid-19 dan akan terus membantu peminjam/pelanggan,” katanya. – Bernama