ABIM minta kerajaan segerakan pengharaman vape secara menyeluruh

Facebook
WhatsApp
PENGHARAMAN VAPE... Ahmad Fahmi Mohd Samsudin menyambut baik pendirian KKM untuk menuju ke arah pengharaman vape dan menggesa perkara itu dibawa segera ke peringkat Jemaah Menteri. Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyegerakan keputusan pengharaman vape secara menyeluruh bagi membendung ancaman penularan cecair peranti itu yang mengandungi bahan psikoaktif sintetik.

Presiden Angkatan Belia Islam (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata ancaman cecair vape yang dipasarkan menggunakan istilah seperti ‘Piu Piu’ dan ‘Magic Mushroom’, tidak boleh lagi dianggap sebagai kes terpencil kerana ia semakin dieksploitasi untuk menyembunyikan, mengedar serta mengambil bahan terlarang dalam kalangan generasi muda dan pelajar sekolah.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik pendirian Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menuju ke arah pengharaman vape, khususnya peranti sistem terbuka dan menggesa perkara itu dibawa segera ke peringkat Jemaah Menteri.

“Kerajaan perlu segera membawa perkara tersebut kepada keputusan Jemaah Menteri serta mengumumkan garis masa, mekanisme pelaksanaan dan pelan peralihan yang jelas menuju pengharaman vape secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai peningkatan kes, Ahmad Fahmi berkata bagi tahun ini statistik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM merekodkan 168 kes dengan 267 tangkapan membabitkan cecair dadah sintetik setakat 10 Jun lepas, berbanding 108 kes dan 138 tangkapan yang direkodkan sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata perkembangan itu merupakan amaran bahawa sindiket sedang menyesuaikan kaedah pengedaran dadah mengikut budaya dan gaya hidup generasi muda menerusi cecair vape yang mengandungi campuran pelbagai bahan psikoaktif sintetik.

Beliau berkata bagi remaja yang telah terjebak, pendekatan pemulihan menerusi pemeriksaan kesihatan, kaunseling, rawatan ketagihan dan sokongan keluarga perlu diutamakan berbanding tindakan berbentuk hukuman atau stigma semata-mata.

– Bernama