
PULAU BRUIT: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol menzahirkan kebimbangannya terhadap kelewatan pelaksanaan beberapa projek di Semop.
Menurutnya, beberapa projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang telah diluluskan sejak akhir 2023 belum menunjukkan tanda-tanda pelaksanaan sehingga kini oleh agensi pelaksana.
Jelasnya, kelewatan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk kampung dan rumah panjang yang amat mengharapkan kemudahan asas tersebut.
“Keadaan begini sangat mengecewakan dan meresah penduduk kampung termasuk penduduk rumah panjang kerana projek-projek kemudahan awam berskala kecil dan sederhana bernilai antara RM250,000 hingga RM450,000 ini amat diperlukan oleh penduduk untuk menyenangkan kehidupan dan aktiviti harian mereka,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengagihan daging lembu sempena sambutan Aidil Adha 1446H yang dilaksanakan serentak di Dewan Masyarakat Kampung Semop dan Dewan Masyarakat Kampung Tekajong, hari ini.
Tambahnya, kebanyakan projek yang dilaksanakan melibatkan pembinaan baru atau menaik taraf jalanraya dalam kampung atau yang menghubungi rumah panjang.
Jelas beliau, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sendiri telah menegaskan dalam mesyuarat pramajlis sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) agar semua wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) lebih kerap turun padang bagi memastikan projek yang mereka perjuangkan dilaksanakan mengikut jadual.
“Menyedari kesibukan warga kerja agensi-agensi pelaksana dengan beban kerja yang meningkat, saya berharap tatakerja atau mekanisme kelulusan dan perlantikan kontraktor untuk projek berskala kecil atau sederhana yang banyak dilaksanakan di luar bandar dapat dipermudah serta dipercepatkan tanpa mengorbankan ciri-ciri ketelusan termasuk akauntabiliti,” tegasnya. -UKAS