Abdullah gesa media pertahan kebenaran, bendung berita ‘separuh masak’

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
 DATUK Abdullah Saidol ketika berucap pada Persidangan Media Sarawak (SMeC) Ke-3 di sebuah hotel di Kuching, hari ini.

KUCHING: Pengamal media dan komunikasi perlu terus mempertahankan kebenaran serta memperkukuh tadbir urus media bagi menangani penyebaran maklumat tidak sahih yang semakin berleluasa dalam era digital, kata Datuk Abdullah Saidol.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)) itu berkata, landskap media hari ini berubah dengan pantas apabila wartawan bukan lagi sekadar melaporkan berita, malah menjadi benteng utama dalam menghadapi “peperangan maklumat” di platform digital.

Beliau berkata, fenomena mengejar pengaruh digital mendorong segelintir pihak menghasilkan kandungan sensasi dan berita ‘separuh masak’ semata-mata untuk meraih perhatian serta meningkatkan kadar interaksi di media sosial.

“Hanya berbekalkan sebuah telefon pintar, ada yang menggelarkan diri sebagai wartawan rakyat lalu menyiarkan maklumat tanpa konteks dan pengesahan, sekali gus mencetuskan kekeliruan serta menghakis keyakinan masyarakat terhadap institusi awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Media Sarawak (SMeC) Ke-3 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurutnya, persidangan bertemakan Kebenaran dalam Era Kemarahan Tular: Mengembalikan Kepercayaan dan Tadbir Urus itu menjadi wadah penting membincangkan tadbir urus media, komunikasi beretika serta perkembangan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI).

Katanya, persidangan itu turut menyokong aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai hab persidangan media antarabangsa di rantau ASEAN.

Abdullah berkata, penyebaran maklumat yang belum dipastikan kesahihannya boleh menjejaskan keharmonian negara, khususnya dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia.

Sehubungan itu, katanya, kebebasan bersuara perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab moral yang berpandukan prinsip Rukun Negara dalam penyampaian maklumat kepada masyarakat.

Beliau berkata, kerajaan turut memperkukuh kerangka perundangan menerusi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memberi kuasa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengawal selia infrastruktur digital negara.

Selain itu, katanya, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 mewajibkan platform media sosial utama yang mempunyai lebih lapan juta pengguna melaksanakan Kod Mitigasi Risiko dan Kod Perlindungan Kanak-Kanak.

Menurut beliau, platform digital juga diwajibkan menurunkan kandungan berbahaya, dimanipulasi atau berunsur hasutan dengan segera atau berdepan denda sehingga RM10 juta.

Bagaimanapun, Abdullah berkata, perundangan sahaja tidak mencukupi untuk menangani cabaran tersebut.

Sebaliknya, pengamal media dan komunikasi awam perlu menguasai komunikasi krisis yang proaktif, pantas dan tersusun bagi memastikan masyarakat menerima maklumat yang lengkap, tepat dan disahkan.

“Kita perlu memanfaatkan Akta Keselamatan Dalam Talian sebagai instrumen untuk memastikan platform digital bertanggungjawab, di samping mempercepat penyampaian fakta yang tepat kepada rakyat.

“Apabila dunia digital dipenuhi separuh kebenaran yang mengancam keharmonian masyarakat, kita mesti bersama-sama mempertahankan kebenaran agar rakyat terus menerima maklumat yang sahih, masyarakat kekal bersatu dan tadbir urus negara terus kukuh,” katanya.