
PETRA JAYA: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah telah menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur II di sini, semalam.
Kunjungan delegasi PSS diketuai Presidennya, Dato Ismail Abang Saufi bertujuan menjemput Dato Sri Abdul Karim ke majlis penutupan Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak 2025 yang berlangsung di Stadium Tertutup Kota Samarahan, dari 18 hingga 22 Jun ini.
Kejohanan dwitahunan itu dianjurkan oleh PSS dengan sokongan daripada Kementerian Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).
10 bahagian telah mengesahkan penyertaan bagi edisi kali ini, melibatkan Kuching, Kota Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.
Sebanyak empat kategori akan dipertandingkan iaitu berpasukan lelaki (tiga regu), regu lelaki, regu belia lelaki dan regu wanita, dengan jumlah keseluruhan hadiah ditawarkan mencecah RM20,000.
Kejohanan itu juga akan menjadi platform untuk mencari pemain mewakili Sarawak pada SUKMA 2026 di Selangor. – UKAS