KUCHING: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan beliau bersedia memberi laluan kepada pemimpin baharu sekiranya parti memutuskan sudah tiba masanya berbuat demikian.
Beliau yang telah berkecimpung dalam arena politik hampir 25 tahun berkata, setiap wakil rakyat perlu bersedia menerima apa jua keputusan parti tanpa menimbulkan sebarang rasa tidak puas hati.
“Sesiapa yang menjadi wakil rakyat di Sarawak, sama ada penggal pertama, ketiga, kelima atau keenam, mesti bersedia. Apabila tiba masanya untuk berhenti, kita berhenti.
“Tidak sepatutnya ada perasaan tidak mahu melepaskan jawatan atau berkata, ‘kalau saya tidak dicalonkan, saya akan lawan balik’. Perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Perhimpunan Alumni Ummatic Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Sarawak (IIUM Alumni Ummatic Gathering in Sarawak) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Beliau berkata, apabila parti merasakan sudah tiba masanya memberi peluang kepada pemimpin baharu, keputusan itu perlu diterima dengan hati terbuka.
“Sebagai seorang ahli politik, apabila tiba masanya untuk berundur dan parti merasakan sudah tiba masa memberi peluang kepada muka baharu, kita perlu menerimanya.
“Saya bersedia untuk apa juga kemungkinan, sama ada sekarang ataupun pada masa hadapan,” katanya.
Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya mendedahkan beliau pernah memaklumkan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa tiga penggal atau sekitar 15 tahun sudah memadai untuk beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Bagaimanapun, beliau berkata, kepercayaan yang terus diberikan kepadanya untuk memegang beberapa portfolio penting dalam Kabinet Sarawak mendorong beliau meneruskan khidmat kepada rakyat.
Menurutnya, tanggungjawab mengendalikan portfolio pelancongan serta belia, sukan dan pembangunan usahawan sebelum ini memberi peluang kepadanya berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat, khususnya golongan belia dan usahawan.
“Saya menikmati tugas ini kerana dapat bertemu ramai orang, terutama golongan muda. Ia membuatkan saya turut berasa muda,” katanya.
Untuk rekod, Abdul Karim mula memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2001 dan terus mempertahankan kerusi berkenaan sehingga kini.
Oleh Shikin Mahmud




