Abdul Karim mahu mekanisme subsidi diesel ambil kira keperluan Sabah, Sarawak

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

ASAJAYA: Kerajaan Persekutuan disaran meneliti semula mekanisme pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dengan mengambil kira keperluan serta realiti yang dihadapi rakyat di Sabah dan Sarawak.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pendekatan yang dilaksanakan tidak wajar disamakan dengan negeri-negeri di Semenanjung kerana keadaan geografi serta corak penggunaan diesel di kedua-dua negeri di Borneo adalah berbeza.

“Kita tidak boleh menyamakan keadaan di Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri di Semenanjung kerana jarak perjalanan yang jauh serta kebergantungan tinggi terhadap diesel.

“Sebarang mekanisme pelaksanaan subsidi perlu mengambil kira realiti dan keperluan sebenar rakyat di kedua-dua negeri ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pesta Jagung Kampung Rebak 2026 di Dewan Kampung Rebak, di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, ramai penduduk di kawasan luar bandar di Sarawak masih bergantung kepada diesel untuk kegunaan harian, termasuk bagi tujuan pengangkutan, penjanaan elektrik dan aktiviti perikanan.

“Sebarang dasar berkaitan subsidi perlu mengambil kira keadaan setempat supaya pelaksanaannya tidak membebankan rakyat, khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

“Keadaan di Sabah dan Sarawak tidak sama seperti di Semenanjung. Sebab itu, pelaksanaan sesuatu dasar perlu melihat kepada keperluan sebenar rakyat di negeri ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Abdul Karim berharap Kerajaan Persekutuan dapat memperhalusi mekanisme penyasaran subsidi diesel supaya lebih sesuai dengan keadaan di Sabah dan Sarawak serta tidak menjejaskan kehidupan harian penduduk.

Oleh Shikin Mahmud