KOTA SAMARAHAN: Usaha membudayakan kebersihan dalam masyarakat tidak seharusnya terhad kepada institusi masjid semata-mata, sebaliknya perlu bermula daripada diri sendiri, keluarga dan persekitaran rumah.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kebersihan perlu dijadikan amalan hidup yang diterapkan sejak kecil supaya nilai tersebut dapat diwarisi oleh generasi akan datang.
Menurut beliau, tidak memadai jika masjid berada dalam keadaan bersih sedangkan kebersihan di rumah dan kawasan persekitaran masih diabaikan.

“Tidak guna masjid bersih, rumah kotor. Tidak guna kita pergi ke masjid sahaja bersih, berwuduk di paip air, tetapi di rumah kita masih kotor.
“Sebab itulah program seperti ini perlu dilihat sebagai usaha membersihkan diri, memelihara alam sekitar dan membentuk cara hidup yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program IIC Prihatin@Alam Sekitar 2026: Masjid Kita, Tanggungjawab Kita anjuran Pusat Penerangan Islam (Islamic Information Centre, IIC), Majlis Islam Sarawak (MIS), di Masjid Darul Rahmah, Kampung Tambirat, Samarahan, hari ini.
Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata, peranan masjid perlu dilihat dalam skop yang lebih luas kerana institusi itu bukan sekadar tempat beribadah, malah berfungsi sebagai pusat penyatuan masyarakat, pendidikan, kebajikan dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Katanya, sebelum kewujudan dewan kampung atau dewan masyarakat, masjid menjadi tempat masyarakat berkumpul, bermesyuarat dan membincangkan pelbagai isu berkaitan komuniti.
“Justeru, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan masjid sentiasa bersih, selesa dan terpelihara agar dapat dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, usaha membentuk budaya kebersihan memerlukan proses pendidikan yang berterusan dan tidak boleh dicapai dalam tempoh yang singkat.
Mengambil contoh Sungai Sarawak, beliau berkata, masyarakat suatu ketika dahulu mengamalkan pembuangan sampah dan sisa ke sungai berikutan kekurangan kemudahan, namun keadaan itu berubah hasil peningkatan kesedaran serta pendidikan masyarakat.
“Jika kita mendidik masyarakat dengan ilmu dan nilai yang baik, mereka mampu berubah. Mungkin mengambil masa, tetapi sedikit demi sedikit ia akan menjadi budaya hidup,” katanya.
Beliau berkata, amalan asas seperti menjaga kebersihan diri, rumah, tandas dan kawasan persekitaran perlu dipupuk dalam institusi keluarga kerana disiplin yang diterapkan sejak awal mampu melahirkan masyarakat yang lebih bertanggungjawab.
Selaras dengan usaha membentuk budaya tersebut, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) IIC-MIS memberi penekanan kepada pembudayaan kesukarelawanan, pemeliharaan alam sekitar serta memperkukuh peranan masjid sebagai institusi pembangunan komuniti menerusi penglibatan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan masyarakat setempat dalam aktiviti gotong-royong, penanaman pokok serta penyerahan Wakaf Ilmu IIC-MIS.
Oleh Afiq Sallehi




