Abdul Karim kekal terajui SABERKAS, kepimpinan baharu sesi 2026–2029 diumum

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (kiri) membuang undi pada pemilihan kepimpinan SABERKAS Sarawak sesi 2026–2029 sempena Perhimpunan Agung tiga tahun sekali SABERKAS Sarawak Ke-18 di sebuah hotel di Sibu, hari ini.

SIBU: Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah kekal menerajui Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) apabila dipilih semula sebagai Presiden bagi sesi 2026–2029 tanpa bertanding.

Keputusan pemilihan itu diumumkan sempena persidangan SABERKAS Sarawak di sini hari ini, yang turut menyaksikan Datuk Gerald Rentap Jabu mengekalkan jawatan Timbalan Presiden, juga tanpa bertanding.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad dilantik semula sebagai Setiausaha Agung SABERKAS bagi sesi 2026-2029.

Bagi jawatan Naib Presiden, ADUN Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan muncul dengan undian tertinggi sebanyak 220 undi, diikuti Sophie Shariee dengan 171 undi.

ADUN Bukit Semuja John Ilus menduduki tempat ketiga dengan 135 undi, manakala Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee memperoleh 132 undi untuk berada di tempat keempat.

Sementara itu, bagi jawatan Ahli Jawatankuasa, Surai Anthony Abell memperoleh undi tertinggi iaitu 242 undi.

Beliau diikuti Awangku Bahar Pengiran Jini dan Awang Nashfarini Awg Sarbini yang masing-masing memperoleh 241 undi, manakala Mohd Faizal Jamiludin mendapat 239 undi.

Calon lain yang berada dalam senarai teratas ialah Mohammad Naieem Samsudin (232 undi), Douglas Chupong Jefferson Jamit (230), Muhamad Tarmizi Karnain Abdah (227), Steve Lius (227), Marcion John (224) dan Julianne Philip Attan (223).

Seramai 25 calon disenaraikan bagi jawatan Ahli Jawatankuasa, berdasarkan kedudukan undi yang direkodkan dalam keputusan pemilihan SABERKAS Sarawak sesi 2026-2029.