PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA), Abang Suhordie Abang Zaini sah dilantik sebagai Penolong Pengurus Sarawak United Football Club (SUFC) bagi menghadapi kempen Liga Premier 2021, semalam.
Pengumuman itu telah dibuat oleh Pengerusi SUFC, Datuk Posa Majais dalam satu majlis dan taklimat oleh Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) bersama Exco Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan semua Presiden persatuan bahagian bertempat di Hotel Kingswood Mukah.
Posa mengucapkan tahniah kepada Abang Suhordie di atas pelantikan tersebut dan berharap agar beliau menjalankan amanah serta tanggungjawab yang telah diberikan.
“Tahniah kepada Abang Suhordie di atas pelantikan tugas sebagai Penolong Pengurus Pasukan SUFC 2021, diharap beliau mampu menjalankan amanah dan tanggungjawab dalam menjalankan tugas bersama pengurus pasukan pada musim ini,” katanya.
Posa berkata, pelantikan Abang Suhordie adalah berdasarkan kepada pengalaman luas sebagai bekas Naib Presiden FAS dan Pengurus pasukan bagi Piala Belia Sarawak FA sebelum ini.
Dalam pada itu, Abang Suhordie mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi SUFC kerana memberi kepercayaan untuk beliau menguruskan pasukan itu yang dianggap mencabar bagi beliau.
“Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada SUFC yang dipimpin oleh Datuk Posa atas kepercayaan serta mandat diberikan kepada saya sebagai Penolong Pengurus pasukan SUFC menghadapi saingan Liga Premier 2021,” ujarnya.
Abang Suhordie berkata, beliau berikrar memastikan kempen Liga Perdana 2021 ini membuahkan kejayaan buat pasukan SUFC walaupun sedar saingan sengit pasukan lain.
“Tugas yang diamanahkan kepada saya amat mencabar namun sebagai membalas kepercayaan diberikan Presiden FAS, saya berikrar membawa kejayaan cemerlang kepada pasukan SUFC nanti,” jelasnya.
Oleh ADI SAFARMAN