
SIBU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 3,000 jemaah di Masjid An-Nur Sibu, hari ini.
Ketibaan Abang Johari di masjid kira-kira 12.30 tengah hari, disambut oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee serta Pengerusi Jawatankuasa Masjid An-Nur Sibu, Ustaz Ghaiazra Mohammad Ali.
Khutbah Jumaat bertajuk ‘Keistimewaan Hari Jumaat dan Solat Fardu Jumaat’ disampaikan sebelum solat yang diimamkan Imam Besar Negeri Sarawak Sahibul Fadilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Selesai menunaikan solat, Abang Johari meluangkan masa kira-kira 20 minit bersalaman dan beramah mesra dengan jemaah, selain menandatangani buku pelawat masjid sebagai kenang-kenangan.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan Temenggung Dato Sri Wan Hamid Edruce.
Abang Johari dijadualkan menghadiri majlis penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia Zon Sibu, Kapit dan Mukah di Hotel RH pada 3.00 petang ini, sebelum menghadiri majlis makan malam bersama Komuniti Sibu di Hotel Kingwood pada sebelah malam nanti.
Abang Johari berada di Sibu bagi merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Peringkat Bahagian Sibu di Dataran Tun Tuanku Bujang yang dijadualkan pada 10.30 pagi, esok.
Oleh Akun Giman