MIRI: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka mengetuai seramai 268 peserta lain esok untuk menjayakan Konvoi Kembara sempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka.
Perjalanan sejauh 168.3 kilometer (km) dari Miri ke Bintulu esok akan melibatkan 56 kenderaan pacuan empat roda, 81 motosikal dan lapan bas, motohome, ambulans dan kenderaan kerajaan.
Sepanjang konvoi tersebut, Abang Johari bersama rombongan konvoi akan singgah ke beberapa lokasi untuk bersua muka dengan rakyat di kawasan.
Pelancaran pameran digital 60 Tahun Sarawak Merdeka bakal dilancarkan sendiri oleh Premier Sarawak sebelum bermulanya konvoi dan pelepasan oleh Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr. Sim Kui Hian di Stadium Tertutup Miri, esok.
Premier Sarawak akan mengetuai konvoi ke Pantai Bungai, Subis sebagai lokasi persinggahan pertama dan kemudiannya ke Kampung Nyalau, Bintulu.
Konvoi Kembara Bahagian Bintulu melibatkan 60 kenderaan termasuk komuniti ‘bikers’, persatuan pacuan empat roda serta kenderaan agensi kerajaan dan swasta akan turut serta bersama konvoi tetap itu bermula dari Kampung Nyalau nanti.
Selepas itu, konvoi tersebut akan meneruskan jelajah sehingga ke lokasi penamat iaitu di NAIM Street Mall, Bintulu Paragon di mana Premier Sarawak juga akan merasmikan Pameran Digital 60 Tahun Bahagian Bintulu.
Turut diadakan penyerahan Bendera Sarawak dan Bendera 60 Tahun Sarawak Merdeka oleh Residen Bahagian Miri Jamalie Busri kepada Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti.
Sementara itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut akan menyempurnakan Majlis Makan Malam Bersama Komuniti di Hotel Parkcity Everly malam esok.
Majlis pelancaran dan pelepasan Konvoi Kembara Sarawak Merdeka Bahagian Bintulu pula akan diadakan di NAIM Street Mall, Bintulu Paragon pada Ahad ini.
Selain penganjuran konvoi kembara dan pameran digital, sambutan dijangka meriah dengan pelbagai acara sampingan diadakan di setiap bahagian termasuk Program Sarawak X-Tive, pameran kesihatan serta aktiviti jualan oleh para usahawan tempatan.