Abang Johari sasar Sarawak jadi pemain dunia industri semikonduktor

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari ketika menyampaikan ucapan yang menyentuh hala tuju teknologi masa depan Sarawak pada Majlis Makan Malam Gala Jubli Perak sempena SACOFA ke 25 tahun di Kuching, malam ini.

KUCHING: Sarawak menyasarkan untuk muncul sebagai pemain bertaraf dunia dalam industri semikonduktor dalam tempoh 25 tahun akan datang, selain merancang melancarkan nano satelit milik sendiri menjelang 2030 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh penguasaan teknologi masa depan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penguasaan teknologi baharu seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), data dan teknologi aeroangkasa merupakan persediaan strategik Sarawak untuk bersaing dalam landskap teknologi global.

Beliau berkata, Sarawak kini memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi cip generasi baharu berasaskan Gallium Nitride (GaN), termasuk menghasilkan reka bentuk cip sendiri menerusi penyelidikan tempatan.

“Kita sedang menuju ke arah itu, dan syarikat semikonduktor Sarawak kini menjalankan penyelidikan bersama rakan strategik di United Kingdom untuk menghasilkan reka bentuk baharu berdasarkan semikonduktor GaN.

“Kita menamakannya sebagai KETEQ AI. Kita telah menjalankan penyelidikan di Cardiff, United Kingdom dan saintis kita berjaya menghasilkan reka bentuk baharu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Jubli Perak SACOFA di Hotel Sheraton Kuching, malam ini.

Abang Johari berkata, Sarawak kini berusaha mendapatkan pelbagai harta intelek (multi-IP) bagi membolehkan negeri itu memiliki keupayaan sendiri dalam reka bentuk teknologi semikonduktor.

ABANG Johari melakukan simbolik memotong kek sempena Majlis Makan Malam Gala Jubli Perak SACOFA sambil meraikan ulang tahun kelahiran beliau yang ke-76 tahun bersama tetamu kehormat lain di Kuching, malam ini.

Menurutnya, pendekatan itu mengambil contoh pemain industri global seperti Nvidia yang memberi tumpuan kepada reka bentuk cip, manakala pengeluaran dilakukan melalui kemudahan foundri seperti TSMC.

“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada teknologi orang lain. Kita perlu menjalankan penyelidikan sendiri dan membangunkan saintis kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan kemudahan foundri X-FAB di Sarawak turut memberi kelebihan dalam membangunkan ekosistem semikonduktor negeri.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, Sarawak turut menyasarkan untuk terlibat dalam industri aeroangkasa menjelang 2030 menerusi pembangunan modal insan dan teknologi berkaitan, termasuk usaha memiliki nano satelit sendiri.

Katanya, beliau telah meminta i-CATS University College menubuhkan Fakulti Aeroangkasa bagi melatih bakat tempatan dalam bidang tersebut sehingga Sarawak mampu membangunkan teknologi satelit sendiri.

“Menjelang 2030, kita mahu terlibat dalam aeroangkasa dan melatih modal insan kita sehingga ke tahap melancarkan satelit nano sendiri milik Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, penguasaan teknologi satelit dan penyimpanan data berdaulat penting kerana masa depan teknologi tidak lagi hanya bergantung kepada aset fizikal, tetapi turut melibatkan aset digital seperti data, pengkomputeran awan dan teknologi orbit rendah bumi (Low Earth Orbit).

Katanya, Sarawak juga merancang membangunkan AI Data Grid Campus di Tanjung Embang bagi menyokong keperluan pemprosesan data masa depan.

“AI bergantung kepada data. Sebab itu data strategik kita perlu disimpan dan diketahui oleh Sarawak sendiri,” katanya.

Beliau berkata, semua usaha tersebut merupakan persediaan bagi memastikan Sarawak bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, tetapi turut muncul sebagai pemain dalam ekosistem teknologi global.

Oleh Afiq Sallehi