
PETRA JAYA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memohon maaf kepada rakan-rakan Cina kerana tidak akan mengadakan sebarang kunjungan sempena Tahun Baharu Cina tahun ini.
Premier Sarawak berkata ini berikutan pemergian isterinya yang tercinta, Allahyarhamah Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
“Secara peribadi, saya ingin memohon maaf kepada rakan-rakan Cina kita kerana pada tahun ini saya tidak akan mengadakan sebarang kunjungan sempena Tahun Baharu Cina berikutan pemergian isteri saya tercinta, Allahyarhamah Datuk Amar Hajjah Juma’ani.
“Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu Lunar kepada semua rakan-rakan Cina kita dan semoga Tahun Kuda membawa kejayaan, kebahagiaan dan kemakmuran kepada kita semua,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu Cina.
Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani meninggal dunia pada 23 Jun 2025 di Pusat Perubatan Normah, di sini.
Allahyarhamah merupakan anak kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Datuk Patinggi Tuanku Bujang.
Abang Johari bagi pihak dirinya dan keluarga merakamkan setinggi-tinggi ucapan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua kaum Cina di Sarawak yang menyambut kemunculan Tahun Kuda pada tahun ini.
“Saya amat berharap agar pada kesempatan yang cukup bermakna ini, anda dapat meluangkan masa yang berkualiti bersama ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan, sambil mengeratkan lagi hubungan silaturrahim yang sedia terjalin, dalam suasana penuh kasih sayang, keharmonian dan keberkatan.
“Tahun Kuda, mengikut kepercayaan kaum Cina, melambangkan semangat kekuatan, ketabahan dan ketahanan, iaitu nilai-nilai yang kita semua perlu junjung dalam menghadapi masa depan yang semakin mencabar pada era ini,” katanya.