
PETRA JAYA: Kerajaan Persekutuan disaran meneliti semula insentif yang ditawarkan bagi menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor ekonomi baharu khususnya industri hidrogen dan semikonduktor yang dilihat berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara pada masa depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu penting berikutan peralihan ekonomi global yang kini semakin tertumpu kepada teknologi hijau, tenaga bersih serta industri berasaskan inovasi.
Menurutnya, insentif yang bersesuaian mampu menggalakkan pelaburan dalam rantaian industri berkaitan sekali gus mempercepatkan pembangunan sektor pembuatan bernilai tinggi di negara ini.
“Mungkin Perdana Menteri boleh melihat semula insentif yang boleh diberikan oleh kerajaan bagi menarik pelaburan dalam ekonomi baharu ini.
“Ini khususnya dari sudut bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan hidrogen dan juga bahan semikonduktor yang boleh melonjakkan produk tersebut dan akhirnya menjadi satu sektor pembuatan yang saya rasa akan memberi pulangan melalui cukai kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam ini.
Abang Johari berkata, Sarawak kini giat membangunkan ekonomi berteraskan tenaga hijau dan kelestarian alam termasuk memperkukuh industri pembuatan maju dalam sektor semikonduktor serta tenaga bersih.
Katanya, usaha tersebut dilaksanakan bagi memastikan Sarawak terus menjadi destinasi pelaburan utama selain menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai pemain penting dalam ekonomi dan tenaga di rantau ASEAN.
“Insya-Allah kita akan melakukan bahagian kita sehingga objektif untuk menempatkan Malaysia sebagai rakan strategik yang penting di ASEAN akan dapat dicapai,” katanya.
Beliau turut menyifatkan masa depan ekonomi negara sebagai cerah sekiranya kerajaan dan industri terus bekerjasama memperkukuh ekosistem pelaburan serta menyediakan dasar yang mampu merangsang pertumbuhan sektor-sektor strategik baharu.
Oleh Shahrul Qaizat