Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Abang Johari mahu Pengakap Sarawak lahir generasi pemimpin era digital
  • TEMPATAN

Abang Johari mahu Pengakap Sarawak lahir generasi pemimpin era digital

Utusan Sarawak 3 hours ago
PREMER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Jogari Tun Openg menyempurnakan gimik perasmian Majlis Pecah Tanah Bangunan Ibu Pejabat Pengakap Cawangan Sarawak Baharu di Jalan Batu Lintang, hari ini. Foto Shahrul Qaizat

KUCHING: Pergerakan Pengakap Sarawak perlu memainkan peranan lebih besar dalam mempersiapkan generasi muda menghadapi cabaran dunia baharu yang dipacu kecerdasan buatan (AI), data dan teknologi masa depan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pergerakan pengakap bukan sahaja berfungsi membentuk disiplin dan kemahiran kepimpinan, malah menjadi platform untuk melatih golongan muda meneroka perkara baharu serta mencari penyelesaian terhadap cabaran yang bakal dihadapi.

Menurutnya, nilai yang diterapkan dalam pergerakan pengakap sejak dahulu seperti daya tahan, kebolehan menyesuaikan diri dan kemahiran menyelesaikan masalah masih relevan meskipun dunia kini memasuki era digital.

“Pergerakan pengakap sebenarnya mengajar kita untuk meneroka perkara yang tidak diketahui dan mencari penyelesaian terhadap perkara yang tidak diketahui itu.

“Pada masa depan, cabaran yang dihadapi generasi muda bukan lagi sekadar di hutan atau gunung, tetapi dalam dunia digital yang dipacu AI dan data,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Bangunan Tun Openg, Ibu Pejabat Pengakap Sarawak Baharu di Jalan Batu Lintang, hari ini.

PREMER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Jogari Tun Openg berucap pada Majlis Pecah Tanah Bangunan Ibu Pejabat Pengakap Cawangan Sarawak Baharu di Jalan Batu Lintang, hari ini. Foto Shahrul Qaizat

Abang Johari berkata, perubahan teknologi yang berlaku dengan pantas memerlukan generasi muda menguasai kemahiran baharu termasuk memahami sistem digital, pengekodan dan penggunaan data.

Katanya, Sarawak turut melaksanakan agenda pendigitalan ekonomi sebagai persediaan menghadapi perubahan landskap teknologi global yang dijangka berkembang lebih pesat dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Anak-anak muda Sarawak mesti bersedia menguasai dan menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran ini serta mencipta sesuatu yang melangkaui impian hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar pembangunan ibu pejabat baharu Pengakap Sarawak turut dilengkapi kemudahan asrama bagi membolehkan ahli pengakap dari seluruh negeri berkumpul, berbincang dan bertukar idea mengenai masa depan.

Menurutnya, kemudahan tersebut dapat berfungsi sebagai ruang pembangunan bakat, kemahiran analitikal dan kepimpinan generasi muda.

“Daripada menginap di hotel yang mahal, lebih baik mereka mempunyai kemudahan sendiri untuk tinggal dan berbincang mengenai masa depan masyarakat serta Sarawak,” katanya.

Beliau turut mengumumkan kerajaan negeri akan membantu pembinaan bangunan baharu itu yang dianggarkan menelan kos RM20 juta, sambil memberi bayangan bahawa peruntukan tambahan mungkin dipertimbangkan sekiranya diperlukan selepas reka bentuk akhir dimuktamadkan.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak, Tan Sri William Mawan Ikom berkata pembinaan bangunan baharu itu menjadi titik penting dalam sejarah pergerakan pengakap negeri selepas ibu pejabat lama yang dibina pada 1965 mengalami kebakaran pada 6 Februari 2024 akibat kerosakan sistem pendawaian.

Menurutnya, bangunan baharu yang dinamakan Bangunan Tun Openg itu bakal menjadi pusat kecemerlangan kepimpinan, disiplin dan pembentukan sahsiah belia untuk generasi Pengakap Sarawak pada masa hadapan.

“Bangunan ini bukan sekadar bangunan, tetapi warisan yang akan terus memberi manfaat kepada generasi muda Sarawak,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Sarawak perkasa tenaga hijau, pacu pembangunan menyeluruh

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.