Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Abang Johari mahu anak Sarawak bersaing di peringkat antarabangsa menerusi pendidikan berkualiti
  • PENDIDIKAN

Abang Johari mahu anak Sarawak bersaing di peringkat antarabangsa menerusi pendidikan berkualiti

Utusan Sarawak 3 hours ago
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bersama tetamu kehormat yang lain menyempurnakan gimik perasmian Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS), di Batu 12 Jalan Kuching-Serian, hari ini. Foto Adele Rissa 

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menzahirkan aspirasi agar anak-anak Sarawak dapat dibentuk sebagai generasi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa menerusi pendidikan berkualiti yang dapat diakses tanpa mengira latar belakang sosial dan ekonomi.

Beliau berkata, keupayaan itu perlu dibina menerusi dasar pendidikan yang membolehkan anak Sarawak berkembang di mana sahaja mereka berada, dengan mengibaratkan generasi muda negeri ini sebagai berupaya mencipta kejayaan sama ada di laut mahupun di darat.

“Anak Sarawak kalau diletakkan di laut, ia menjadi pulau. Kalau diletakkan di darat, ia menjadi gunung. Di mana sahaja mereka berada, mereka mampu membina sesuatu yang baharu dan diterima oleh komuniti antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS), di Batu 12 Jalan Kuching-Serian, hari ini.

Abang Johari menegaskan bahawa usaha kerajaan Sarawak menubuhkan sekolah antarabangsa tersebut merupakan satu pendekatan strategik untuk menyediakan asas pendidikan bertaraf global kepada anak-anak Sarawak yang berpotensi, tanpa mengira latar belakang keluarga.

Menurut beliau, pendekatan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pendidikan berkualiti bukan hanya dinikmati oleh golongan tertentu, sebaliknya menjadi landasan pembangunan modal insan Sarawak secara menyeluruh.

“Kerajaan Sarawak komited memastikan setiap anak negeri ini mendapat peluang pendidikan yang sama, supaya mereka dapat berkembang dan bersaing di pentas global. Ini bukan sahaja untuk kejayaan individu, tetapi juga masa depan negeri dan generasi akan datang,” tambahnya. 

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa pemilihan silibus Cambridge di YSISS adalah selaras dengan hasrat melahirkan pelajar yang mampu bersaing di peringkat global, di samping tetap mematuhi keperluan pendidikan nasional termasuk Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Moral.

Pendekatan dwialiran itu membolehkan pelajar kekal berakar pada identiti kebangsaan, sambil memiliki keupayaan untuk melanjutkan pengajian dan bersaing di universiti di seluruh dunia.

Beliau menekankan bahawa pelajar yang mengikuti silibus antarabangsa tetap mematuhi kurikulum nasional, membolehkan mereka menguasai bahasa kebangsaan dan pendidikan moral, sambil bersedia untuk bersaing di universiti terkemuka dunia seperti Cambridge, Oxford, Stanford dan LSE.

Dalam masa yang sama, penguasaan Bahasa Inggeris, serta bahasa antarabangsa lain, menjadi kemahiran penting bagi menghadapi ekonomi global.

Abang Johari berkata, dasar pendidikan Sarawak yang inklusif dan berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) akan memastikan anak-anak negeri ini bukan sekadar mengikuti arus global, tetapi berada di barisan hadapan pembangunan ilmu dan teknologi.

YSISS, katanya, adalah asas kepada generasi masa depan yang akan membina Sarawak menjadi peneraju di rantau ASEAN dan pentas dunia.

oleh Adele Rissa 

Continue Reading

Previous: Pembinaan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Bintulu, Miri berjalan lancar
Next: Tiga pelajar Sarawak terpilih menghadap Permaisuri Agong, hargai kejayaan antarabangsa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.