KUCHING: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk memantau kawasan berisiko mengalami tanah runtuh ketika musim hujan ini.
Premier Sarawak berkata pemantauan itu perlu dilakukan dengan lebih kerap bagi mengelak tragedi serupa tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit di Miri berulang.
“Saya telah mengarahkan Pengerusi JPBNS (Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk mengambil langkah awal berkaitan situasi ini.
“Ini kerana Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran hujan peringkat bahaya dan waspada di Sarawak hingga 31 Januari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina di rumah tokoh perniagaan, Dato Goh Leng Chua, di sini, malam tadi.
Abang Johari dalam pada itu, menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri yang berlaku awal pagi semalam.
“Bagi pihak kerajaan, kita bersimpti dengan kehilangan nyawa di Miri dan kita berharap kawasan-kawasan lain juga turut berjaga dengan keadaan seperti ini.
“Kita (kerajaan Sarawak) juga akan sentiasa memantau keadaan dan mengambil langkah yang sewajarnya bagi memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjaga,” katanya.
Dalam tragedi menyayat hati itu, lima mangsa terkorban iaitu Sazarena Arabi, 41, Fatimah Dawi, 71, Irsyad Syairah, 16, Nur Raisyah Syahirah, 8, dan Nur Rania Syafiqah, 11.
Semua mangsa tinggal serumah dan dua lagi penghuni rumah berkenaan iaitu Nur Irsalina Syairah, 17, mengalami kecederaan patah kaki kanan dan sedang menerima rawatan, manakala Arabi Samsudin, 71, tidak mengalami kecederaan.
Oleh RYNNA SHA’ERRA