GEDONG: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Gedong, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin rakyat Sarawak akan menilai apa dilaksanakan kerajaan semenjak GPS mentadbir dan menguruskan negeri ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) DUN Gedong, semalam.
“Saya rasa bahawa dengan ada pilihan raya ini maka rakyat akan menunaikan tanggungjawab untuk memilih kerajaan yang akan mengurus dan mentadbir Negeri Sarawak selama 5 tahun yang akan datang.
“Saya yakin bahawa, rakyat juga akan menilai apa yang telah kita laksanakan semenjak GPS mentadbir dan menguruskan negeri kita,” katanya.
Sementara itu beliau turut mendedahkan GPS akan melancarkan manifesto pada 8 Disember ini.
Katanya, setakat hari ini apa yang telah dijanjikan pada tahun 2016 telah ditunaikan.
“Walaupun ada pihak mengatakan manifesto ini bukanlah macam ‘Bible’ tetapi bagi kita ia ialah satu perkara yang harus kita laksanakan sebaik mungkin.
“Kerajaan kita sekarang ini mempunyai dasar sosial dan ekonomi sehingga tahun 2030,” katanya.
Beliau berharap rakyat juga akan memainkan peranan melihat masa depan Sarawak bagi anak cucu mereka di masa depan.
Pada masa yang sama, Abang Johari turut menasihatkan kepada semua calon yang bertanding akan mematuhi arahan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta pihak lain mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan.
Terdahulu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong menyaksikan pertarungan empat penjuru pada PRN-12 dimana Abang Johari akan ditentang PSB menerusi calonnya Mohamad Sofian Fariz Sharbini, calon PBK Tomson Ango dan AMANAH Kamal Bujang.