SIBU: Langkah parti dari Sarawak untuk keluar Barisan Nasional (BN) pada 2018 adalah untuk memudahkan perjuangannya lebih fokus pada negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata berikutan itu empat parti tempatan mengundur diri daripada BN dan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Kita sedar sekiranya dibawah pimpinan BN pada ketika itu yang mempunyai 12 parti dan Sarawak hanya empat (parti), maka konsensus dicapai untuk tubuh GPS.
“Susah untuk kita membawa setiap masalah yang ada di Sarawak kepada mereka (BN) kerana tahu akan kalah dan inilah sebab kita undur diri dari BN dan tubuh parti (GPS) untuk Sarawak yang hanya berjuang untuk Sarawak (GPS),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat Sibu di CCKLokal Sibu di sini malam ini.
GPS adalah gabungan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata, GPS kini bertanding secara solo tanpa ikatan dengan mana-mana parti atau gabungan parti lain setelah ia keluar BN pada 2018.
Katanya, penubuhan GPS adalah untuk memperjuangkan hak Sarawak dalam Malaysia.
Mengenai Sibu, beliau berkata kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri Disember lalu, membolehkan GPS merampas kembali Sibu daripada cengkaman pihak pembangkang.
Katanya, ia jelas membuktikan rakyat Sibu tahu perancangan kerajaan negeri demi Sarawak.
“Pada PRU-15 kali ini, berikanlah sokongan padu kepada calon (GPS) Parlimen Sibu, Clarance Ting Ing Horh.
“Dia (Clarance) seorang yang kerja kuat dalam memastikan Sibu terpelihara. Calon kita ini mesti dihantar di Parlimen. Bagi dia cakap untuk orang Sibu. Saya yakin dan percaya dia akan buat yang terbaik untuk rakyat di Sibu,” katanya.
Beliau berkata, pada ketika DAP ingin berbaik-baik dengan GPS dan meminta untuk melupakan apa yang telah terjadi, sukar untuk diterima.
“DAP kata Sarawak akan muflis dalam masa tiga tahun, mana mungkin saya nak melupakan begitu saja apa yang telah dikatakan oleh mereka.
“Oleh itu, ingatlah setiap apa yang dilakukan oleh PH selama 22 bulan memerintah. Banyak projek dibatalkan oleh mereka.
“Kini, Sarawak berkehendak kerajaan yang stabil,” katanya.