KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyangkal kejujuran Pakatan Harapan (PH) untuk melaksanakan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan memberi penurunan kuasa kepada Sabah dan Sarawak jika mendapat mandat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Anda percaya?” kata Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
Premier Sarawak enggan mengulas lanjut tetapi mengingatkan apa yang dilakukan oleh PH ketika memerintah negara selama 22 bulan selepas PRU-14 pada 2018.
“Setelah apa yang berlaku pemerintahan 22 bulan dahulu? Itu saja komen saya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Sarawakku Sayang 2022 di Esplanade Telaga Air di sini, hari ini.
Mengenai kenyataan Anwar bahawa PH sentiasa terbuka untuk berbincang atau bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk GPS, selepas keputusan PRU-15 pada 19 November ini, Abang Johari berkata:
“Bertanding dahulu, baru kita tahu macam mana. Kalau tidak bertanding tidaklah tahu.”
Anwar dilaporkan membuat kenyataan itu ketika berucap pada pelancaran Tawaran Harapan Untuk Sarawak di sebuah hotel di Kuching semalam.
PH adalah gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH). Tiga parti ini turut bertanding menentang calon GPS pada PRU-15 ini.
Oleh Azreen Keria