KUCHING: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini enggan memberi sebarang ulasan berhubung kemelut pembentukan Kerajaan Persekutuan yang sedang berlaku sekarang.
“Saya tidak mahu mengulas. Biar Kuala Lumpur yang tentukan,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas perjumpaan bersama Kelab Penyokong GPS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Premier Sarawak itu meninggalkan bangunan DUN Sarawak kira-kira jam 4.20 petang dan enggan membuat ulasan lanjut meskipun diekori wartawan hingga ke kenderaannya.
Semalam, Abang Johari pada sidang media menyatakan GPS bersetuju untuk menyertai kerajaan gabungan bersama Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Rakyat Sabah (GRS) dan menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.
Pihak wartawan juga bertanya kepada Abang Johari untuk ulasan mengenai pertemuan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di ibu negara.
Oleh NUR AIN OTSMAN