
SARATOK: Peserta dari Kampung Bungin, Spaoh, Abang Jamil, membuktikan kehebatan tumpuannya apabila dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan Slingshot Kalaka bersempena cuti sekolah yang berlangsung di Gelanggang Serbaguna LAKIS, kelmarin.
Kemenangan tersebut membolehkan beliau membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM300, piala iringan serta hamper.
Kejayaan ini sekali gus menewaskan puluhan peserta lain yang datang dari pelbagai pelosok daerah bagi merebut gelaran tertinggi dalam sukan tradisional tersebut.
Tempat kedua pula disandang oleh wakil dari Sibu, Anuar, yang mempamerkan saingan sengit sepanjang pertandingan. Beliau membawa pulang wang tunai RM200 berserta piala dan hamper.
Sementara itu, wakil tuan rumah, Morsidi, sekadar berpuas hati di kedudukan ketiga dengan imbuhan wang tunai RM150, piala serta hamper.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, penganjuran program ini adalah satu inisiatif yang sangat baik bagi mengisi masa lapang golongan muda dengan aktiviti yang bermanfaat.
Menurut beliau, sukan ini bukan sahaja menguji ketepatan, malah memupuk semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan komuniti.
Program ini diadakan sempena pengisian aktiviti cuti sekolah dan bagi memeriahkan lagi Sambutan Tahun Baharu 2026 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
Ia merupakan anjuran bersama Pergerakan Sayap Belia 1828 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Melango Slingshot Team dan Pusat Khidmat ADUN Kalaka.
Pertandingan yang mendapat sambutan hangat ini telah berjaya menghimpunkan seramai 78 peserta secara keseluruhan. Kehadiran peserta bukan sahaja terhad kepada penduduk setempat, malah turut menarik minat peminat sukan lastik dari Sibu, Sri Aman, Kampung Bungin (Spaoh) serta peserta dari sekitar Saratok sendiri.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Cawangan PBB Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi yang hadir mewakili ADUN Kalaka.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran yang cukup bermakna ini.
Selain pemenang utama, penghargaan turut diberikan kepada pemenang tempat keempat hingga ke-10 yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM50 bersama hamper.
Manakala bagi peserta yang menduduki tempat ke-11 hingga ke-20, mereka tidak pulang dengan tangan kosong apabila turut dihadiahkan hamper sebagai tanda penghargaan atas penyertaan mereka.
Oleh Adi Safarman