
SIBU: Mahkamah Sesyen di Kapit semalam menjatuhi hukuman penjara 11 tahun terhadap seorang pemuda setelah mengaku bersalah atas pertuduhan merogol seorang wanita, dua tahun lepas.
Hakim Musyiri Peet yang mendengar kes, memerintahkan tertuduh berusia 21 tahun menjalani hukuman penjara itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap, 26 Disember 2024.
Sementara itu, seorang remaja berusia 17 tahun yang juga didakwa merogol mangsa sama, diperintah oleh mahkamah dihantar ke Sekolah Henry Gurney, Puncak Borneo, Kuching sehingga berusia 21 tahun mengikut Seksyen 76, Akta Kanak-Kanak 2001.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka yang merupakan adik beradik dituduh bersama merogol seorang wanita berusia 47 tahun di kawasan semak sebuah rumah tidak bernombor di Kapit pada 25 Disember 2023, kira-kira 9.00 malam.
Sehubungan itu, kedua-dua mereka telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan, yang mana sabit kesalahan hendaklah dipenjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pengadu telah dirogol dan sebelum dirogol, mangsa telah dikasari oleh kedua-dua suspek yang mencekik dan menumbuk muka, menyebabkan dia dalam keadaan separa sedar serta tidak berupaya melawan. Apabila mangsa sedar semula, dia mendapati dirinya dalam keadaan bogel.
Hasil siasatan mendapati mangsa telah dirogol secara bergilir-gilir oleh kedua-dua tertuduh, yang dikenali serta tinggal berjiran dengannya.
Siasatan juga mendapati kedua-dua tertuduh mengambil kesempatan merogol mangsa yang ketika itu dalam keadaan mabuk. Setelah selesai, salah seorang tertuduh tidur di sebelah mangsa di dalam rumah mangsa.
Laporan perubatan mendapati ada kesan koyakan selaput lama dan tiada sebarang kecederaan di bahagian kemaluan mangsa.
Rakaman percakapan doktor menyatakan koyakan lama itu kemungkinan daripada mangsa yang telah berkahwin sebelum ini serta mempunyai enam orang suami.
Selain itu, mangsa juga telah melahirkan tujuh orang anak dan koyakan lama adalah daripada kelahiran normal.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Cynthia Emmelda Jerry.
Oleh Akun Giman