
KUALA LUMPUR: Atlet para powerlifting negara Bryan Gustin menyumbang pingat gangsa dalam kategori lelaki 88 kilogram (kg) pada Kejohanan Piala Dunia 2025 di Beijing, China, hari ini.
Bryan, yang juga abang kepada jaguh powerlifting para negara Bonnie Bunyau Gustin mencatat angkatan seberat 180kg dalam saingan yang berlangsung di China Administration of Sports for Persons with Disabilities (CASPD).
Beliau menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang atlet Emiriah Arab Bersatu Mohammed Khamis Khalaf yang meraih perak dengan angkatan 205kg, manakala emas menjadi milik atlet tuan rumah, Jixiong Ye yang melakukan angkatan terbaik seberat 220kg.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara Nicodemus Manggoi Moses turut menghadiahkan gangsa selepas melakukan angkatan 210kg dalam kategori lelaki 97kg.
Kategori itu menyaksikan atlet China Panpan Yan muncul juara dengan angkatan 225kg, manakala atlet Uzbekistan Khusniddin Usmanov membawa pulang perak selepas mengangkat 223kg.
Terdahulu, Bonnie Bunyau mencuri tumpuan apabila menghadiahkan pingat emas kepada negara dalam kategori lelaki 72kg selepas melakukan angkatan terbaik 215kg, semalam.
–Bernama