Kemahiran dan daya kreatif seorang usahawan kraf ditagih oleh golongan pencinta haiwan untuk mengabadikan imej haiwan peliharaan tersayang mereka dalam bentuk seni sulaman.
Rifasya Abdul Rashid, 47, berkata karya sulaman dengna imej haiwan peliharaan ini mendapat permintaan tertinggi daripada pelanggannya.
Daripada lembaran benang, tangan mahis Rifasya, 47, berjaya menghasilkan imej haiwan kesayangan pelanggannya yang sudah dianggap sebagai keluarga sendiri seperti anjing dan kucing, saling tak tumpah seperti rupa sebenar menerusi seni sulaman di atas kanvas.
“Antara karya termahal dan paling mencabar pernah saya hasilkan adalah sulaman imej anjing ‘Rottweiler’ berlatarbelakngkan Menara Berkembar petronas (KLCC) dan Menara Kuala Lumpur, dipelihara pelanggan warganegara United Kingdom (UK) yang menetap di sini, bersaiz (kertas) A3 dan bernilai lebih RM3,000.
Pelanggan mahu ‘merakam’ kenangan haiwan peliharaan merekea, jadi sekiranya ia mati atau hilang, ada memori boleh dikehang, tentunya mempunyai nilai sentimentalnya dan bukan sekadar gambar rakaman kamera,” katanya kepada Bernama.
Menjelas lanjut, Rifasya mengakui bukan mudah menghasilkan imej yang sama dengan subjek sebenar dan cabaran utama termasuk gambar diberi pelanggan yang membuat tempahan secara dalam talian kurang jelas susulan posisi subjek yang sukar dilihat selain kekangan komunikasi.
Rifasya yang emminati bidang seni kraf sejak kecil juga pernah menghasilkan sulaman orang utan untuk pelanggan dari Rusia selain pelbagai sulaman lain termasuk potret bermula dengan harga RM80.
Beliau mengambil tempoh antara tiga hingga dua minggu dalam menyiapka setiap hasil sulaman bergantung kepada tahap ketelitian dan kesukaran.
Mengimbas kembali, Rifasya mula bergerak serius dalam seni kraf selepas hilang pekerjaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan dua tahun lepas.
“Saya dahulu bekerja sebagai pembantu kantin dan hanya terlibat dalam bidang ini secara separuh masa, saya anggap hilang pekerjaan sebagai hikmah kerana dapat memenuhi cita-cita yang terpendam sekian lama,” katanya yang kini mencecah pendapatan empat angka sebulan.
Selain mengambil tempahan kraf sulaman tangan, Rifasya yang menetap di Teluk Intan, Perak juga berbakat menghasilkan pelbagai kraf lain seperti seni kayu, minitur dan diorama.
“Saya tak pernah rasa puas untuk sentiasa mencuba dan meneroka ilmu dan kemahiran seni yang baharu, sekarang saya sedang belajar seni batik ‘Tie Dye’,” katanya.–BERNAMA