
KUALA LUMPUR: Pasangan nombor dua dunia dan gandingan utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menempah slot ke suku akhir Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Pasangan pilihan kedua itu terpaksa berjuang habis-habisan sebelum menundukkan wakil China, Chen Xu Jun-Liu Yang dengan kemenangan 21-14, 14-21, 21-14 dalam tempoh 62 minit pada pembukaan musim kejohanan kali ini.
Wooi Yik mengakui mereka sudah menjangkakan perlawanan sengit, lebih-lebih lagi menentang pasangan yang kurang dikenali.
“Kami tahu pasangan dari China bukan mudah untuk ditumpaskan, jadi kami perlu bersedia sepenuhnya. Kami tidak memandang rendah kemampuan mereka,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Dalam perlawanan suku akhir esok, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan sama ada pasangan pilihan kelapan dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani, atau gandingan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju.

Mengiringi langkah Aaron-Wooi Yik, pasangan pilihan kelima negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut mencipta kejutan apabila menewaskan wakil Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita, 21-9, 21-15 dalam masa 29 minit sahaja.
Kai Wun berkata sokongan padu penonton di gelanggang sendiri menjadi pemangkin kepada prestasi mereka.
Namun, usaha pasangan negara lain, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King, terhenti selepas tewas 18-21, 11-21 kepada pilihan ketiga dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, dalam tempoh 39 minit.
Sementara itu, pasangan profesional negara Goh Sze Gei-Nur Izzuddin Rumsani turut gagal meneruskan kemaraan selepas kalah buat kali kedua berturut-turut kepada pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy, 13-21, 17-21.
Sze Gei mengakui terlalu banyak kesilapan mudah menjejaskan prestasi mereka hari ini.
Beregu lelaki profesional negara Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong terpaksa akur dengan nasib malang apabila tewas kepada juara bertahan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae 21-15, 21-16 dalam masa 41 mminit.
Dengan kemenangan itu, pasangan pilihan utama, Won Ho-Seung Jae akan menentang Wei Chong-Kai Wun di suku akhir kejohanan berstatus Super 1000 itu.
-Bernama