
KUALA LUMPUR: Pemain badminton negara, Aaron Chia dan M. Thinaah akan mengetuai cabaran Malaysia pada pusingan akhir Piala Thomas dan Piala Uber 2026 di Horsens, Denmark.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam kenyataan mengesahkan jaguh beregu lelaki itu akan mengetuai skuad Piala Thomas manakala ketua pasukan Piala Uber digalas Thinaah yang juga pemain beregu wanita utama negara.
Aaron yang akan membuat penampilan keempat berturut-turut dalam Piala Thomas bermula edisi 2020, dijangka membawa pengalaman serta kestabilan kepada skuad lelaki.
Sementara itu, Thinaah bakal beraksi dalam kempen Piala Uber ketiganya selepas edisi 2020 serta 2022, dan akan menjadi tonggak pasukan dalam usaha menampilkan prestasi cemerlang.
BAM menyenaraikan pemain profesional lelaki negara Lee Zii Jia serta Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Aidil Sholeh Ali Sadikin bagi membawa cabaran perseorangan lelaki.
Acara beregu lelaki pula, cabaran negara akan diterajui pasangan nombor dua dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik selain Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta pasangan profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani.
Skuad lelaki kebangsaan diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, England dan Finland.
Sementara itu, bagi saingan Piala Uber 2026, skuad negara menyaksikan gandingan M Thinaah-Chong Jie Yu, pasangan muda Ong Xin Yee-Carmen Ting serta Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah.
Barisan perseorangan wanita terdiri daripada K. Letshanaa bersama Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi dan Goh Jin Wei.
Skuad wanita diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Turkiye dan Afrika Selatan.
Pusingan akhir Piala Thomas dan Piala Uber dijadualkan berlangsung di Horsens dari 24 April hingga 3 Mei 2026.- Bernama