
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menamatkan kemarau 18 tahun Malaysia apabila muncul juara pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China hari ini.
Pada aksi di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Ningbo, pilihan keenam Aaron-Wooi Yik menampilkan aksi cemerlang apabila menewaskan pasangan tuan rumah Chen Bo Yang-Liu Yi, sekali gus menjadi beregu Malaysia pertama memenangi gelaran itu sejak Choong Tan Fook-Lee Wan Wah di Johor Bahru pada 2007.
Pada set pembukaan, bekas juara dunia 2022 itu bermula garang apabila mendahului 3-0, namun pasangan China berkenaan enggan mengalah dan berjaya menyamakan kedudukan 15-15.
Aaron-Wooi Yik kekal tenang dan menggunakan beberapa pukulan menarik dan tepat untuk menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-19 dalam perlawanan yang mendebarkan.
Walaupun ketinggalan 9-11 pada waktu rehat set kedua, pemenang dua pingat gangsa Sukan Olimpik itu bangkit dengan semangat juang tinggi untuk mendahului 19-15, sebelum Aaron menamatkan perlawanan dengan satu ‘smash’ padu, sekali gus memastikan kemenangan 21-17 dalam masa 47 minit untuk merangkul kejuaraan itu.
Kemenangan itu turut melebarkan rekod pertemuan mereka menentang pasangan tuan rumah itu kepada 3-1, sejak kali pertama bertemu pada pusingan kedua Malaysia Masters 2024.
Kejayaan hari ini cukup manis buat Aaron-Wooi Yik kerana ia memberi peluang kepada mereka untuk menebus kekecewaan apabila tewas pada final edisi 2022 di Muntinlupa, Filipina kepada pasangan Indonesia Pramudya Kusuma-Yeremia Rambitan, 21-23, 10-21.
Pasangan nombor enam dunia itu mempamerkan aksi cemerlang pada kempen BAC 2025 apabila tidak tewas satu set pun sepanjang kejohanan.
Aksi cemerlang mereka termasuk kemenangan 21-12, 21-14 ke atas pasangan pilihan kedua dan sandaran tuan rumah Liang Wei Keng-Wang Chang pada saingan separuh akhir semalam.
Selaku juara, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,000 (kira-kira RM164,000), manakala Bo Yang-Liu Yi menerima AS$17,500 (kira-kira RM77,000) selaku naib juara. – Bernama