
KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara Aaron Chia terbuka untuk bergandingan dengan mana-mana pemain dalam usaha untuk membutirkan pingat emas pada Sukan SEA 2025 di Thailand hujung tahun ini.
Aaron berkata idea berkenaan dilihat realistik untuk dilakukan memandangkan Malaysia membariskan skuad terkuat ke temasya sukan dwitahunan itu sekali gus mampu memberikan cabaran sengit.
“Ya, kalau tengok memang peluang lebih tinggi buat untuk Malaysialah. Tapi kita pun ada bincang dengan jurulatih mungkin boleh cuba main pecah ganding (scratch pair) sebab Sukan SEA ini memang tak ada ranking dunia.
“Saya rasa scratch pair boleh untuk acara individu dan juga berpasukan,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara hari ini.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris itu akan ditemani rakan beregunya Soh Wooi Yik ke temasya yang akan bermula 9 hingga 20 Disember itu, namun segala keputusan berhubung gandingan mereka terletak kepada keputusan jurulatih.
Aaron berkata strategi menggunakan scratch pair bakal memberikan elemen kejutan kepada pihak lawan selain sebagai persiapan untuk Piala Thomas tahun hadapan.
“Saya rasa scratch pair mungkin lagi kuat. Sebab you boleh tengok macam Fajar dan Fikri (beregu lelaki Indonesia). Jadi mungkin boleh beri kejutan kepada pihak lawan,” katanya.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2021 di Vietnam dalam acara beregu campuran menerusi Chen Tang Jie-Peck Yen Wei.
Pada edisi lepas di Kemboja, pemain negara gagal menghadiahkan emas buat Malaysia sebaliknya hanya membawa pulang dua perak dan empat gangsa.- Bernama