Aaron Chia-Aaron Tai muncul naib juara Terbuka Taiwan 2026

Facebook
WhatsApp
BEREGU negara, Aaron Chia (kanan) dan Aaron Tai muncul naib juara di Terbuka Taiwan 2026.

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara Aaron Chia-Aaron Tai muncul naib juara pada Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan 2026 selepas tewas dalam perlawanan akhir hari ini.

Gandingan pilihan kelima dari Malaysia itu tewas straight set 21-23, 19-21 kepada pasangan pilihan kelapan dari Indonesia Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin.

Dalam perlawanan yang berlangsung selama 42 minit itu, persaingan sengit pada set pembukaan menyaksikan pasangan Indonesia memenangi set berkenaan menerusi mata tambahan (deuce) manakala Chia-Tai terus memberi tentangan pada set kedua, namun lawan mereka kekal tenang untuk mengesahkan kemenangan.

Kejohanan itu adalah penampilan pertama pasangan negara berkenaan di pentas final sejak digandingkan buat kali pertama bulan lepas.

Sementara itu, Chia berkata mereka telah memberikan aksi terbaik, namun pihak lawan bermain lebih baik hari ini.

“Saya rasa kami telah memberikan yang terbaik hari ini dan tahniah kepada pemenang. Mereka bermain dengan sangat baik dan pada saat-saat genting, mereka memberikan tekanan yang sangat tinggi kepada kami,” kata Chia dalam rakaman suara yang dikongsi Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.

Beliau turut berkata gandingan itu telah menunjukkan peningkatan yang sangat baik walaupun baru menyertai kejohanan kedua bersama-sama.

Selepas ini, pasangan berkenaan akan beraksi dalam satu lagi kejohanan, iaitu Korea Masters 2026 dari 4 hingga 9 Ogos, dan mereka teruja untuk melihat sejauh mana kemampuan yang boleh dicapai. – Bernama