

SIBU: Perbincangan tentang hala tuju strategik, perancangan takwim dan penyelarasan gerak kerja bagi 2026 menjadi fokus utama Mesyuarat Pengurusan Bilangan 1 Tahun 2026 Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu, semalam.
Mesyuarat tersebut yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak Zon Sibu, telah dipengerusikan oleh Ketua Daerah AADK Daerah Sibu, Azimah Marsid.
Perbincangan turut menyentuh aspek pengukuhan integriti pegawai serta kakitangan dan pemantapan penyampaian perkhidmatan kepada komuniti di Bahagian Sibu dan Kapit.

Sejurus selesai mesyuarat, seluruh warga kerja AADK Daerah Sibu telah menjalani ujian saringan awal air kencing. Langkah kawalan dalaman itu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan setiap warga kerja agensi bebas sepenuhnya daripada sebarang penyalahgunaan dadah dan substan.
Inisiatif itu membuktikan komitmen agensi dalam memartabatkan integriti penjawat awam, selain menjadi contoh teladan kepada masyarakat bahawa pencegahan bermula dari dalam organisasi sendiri.
AADK Daerah Sibu kekal komited dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah dan substan demi kesejahteraan komuniti setempat.
Oleh Akun Giman