
KUCHING: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak menerima kunjungan rasmi daripada delegasi enam pegawai Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Perdana Menteri, Brunei Darussalam yang diketuai oleh Awang Zainol Ajmain.
Lawatan kerja yang berlangsung dari 2 hingga 4 September ini merupakan julung kali diadakan dan bertujuan memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan Brunei Darussalam dalam bidang pencegahan, rawatan serta pemulihan penagihan dadah.
Sepanjang program, delegasi Brunei meninjau pelbagai pendekatan AADK Sarawak di beberapa lokasi strategik termasuk Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kuching, Pusat Pembangunan dan Intervensi Komuniti (CDIC) di Bau, Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC) di Jalan Abel serta Pejabat AADK Sarawak di Kuching.
Delegasi turut menerima taklimat di CSSC Kuching hari ini berhubung fungsi pusat komuniti yang mula beroperasi sejak 2022
Dalam taklimat tersebut, turut dikongsikan kejayaan pelaksanaan Jawatankuasa Sehenti (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Bahan (MIDS) Sarawak.

Inisiatif ini mendapat maklum balas positif daripada masyarakat dengan peningkatan keyakinan yang dikongsi di media sosial.
OSC turut menunjukkan hasil melalui peningkatan tangkapan dan rampasan dadah serta pertambahan individu yang tampil secara sukarela mendapatkan rawatan dan pemulihan.
Pusat ini berperanan sebagai lokasi sehenti bagi golongan rentan termasuk mereka yang terjebak dengan masalah dadah, remaja hamil, gelandangan, mangsa keganasan rumah tangga, warga miskin serta mereka yang menghadapi masalah sosial lain.
CSSC menyediakan ruang intervensi, pempprofilan, pemeriksaan rumah serta rujukan kepada agensi berkaitan.
Ia juga berfungsi sebagai tempat perlindungan sementara, pusat kaunseling, bengkel komuniti, saringan kesihatan, hingga ke dapur amal yang menyediakan makanan harian kepada golongan memerlukan.
Sejak beroperasi, CSSC telah menerima lebih 430 tempahan program daripada pelbagai agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Melalui sumbangan komuniti, ia turut mengendalikan bank makanan yang membantu kira-kira 50 keluarga setiap bulan.
Inisiatif seperti ini bukan sahaja meringankan beban golongan kurang bernasib baik, malah memberi keyakinan bahawa usaha membina komuniti bebas dadah adalah tanggungjawab bersama.
Selain itu, AADK Sarawak memperkenalkan program transformasi perkhidmatan melalui latihan vokasional elektrik dengan jenama ‘Bitara Nyuluh’ di bawah Rawatan dan Pemulihan Dadah dan Bahan (RPDK).
Inisiatif ini membolehkan klien memperoleh kemahiran teknikal, meningkatkan peluang pekerjaan dan membina kehidupan bebas dadah selepas pemulihan.
Lawatan ini juga bertepatan dengan penguatkuasaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 [Akta 283] yang mula berkuat kuasa pada 22 Ogos lalu.
Akta tersebut memperluaskan akses rawatan dan pemulihan kepada penyalah guna bahan lain seperti gam dan ketum dengan pendekatan yang lebih inklusif, sukarela, berperikemanusiaan dan menyeluruh.
AADK Sarawak yakin lawatan rasmi ini akan menjadi titik tolak hubungan strategik Malaysia–Brunei dalam memperkukuh kerjasama serantau ASEAN, sekali gus membina komuniti yang lebih sejahtera, selamat dan bebas dadah.