SIBU: Pelaksanaan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) merupakan usaha wajar, dan perlu disokong penuh oleh pihak majikan, dan pekerja untuk menghindari musibah akibat dadah.
Menekankan perkara itu, Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak Abdul Hamediee Ibrahim memaklumkan pada 2024, AADK Sarawak telah melaksanakan ujian urin di 169 jabatan kerajaan, swasta, dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membabitkan seramai 5,280 pekerja.
Daripada jumlah tersebut, jelasnya, seramai 51 orang telah didapati positif dadah.
“Isu ini perlu diberi perhatian serius, dan intervensi yang tepat harus dilaksanakan oleh pihak majikan untuk menangani penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang di tempat kerja.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan AADK memerangi penyalahgunaan dadah di tempat kerja dan memastikan persekitaran kerja bebas daripada dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program TEKAD anjuran Loji Hidroelektrik Bakun (HEP) dengan kerjasama AADK, Sibu baru-baru ini.
Program ini, katanya, telah disertai oleh seramai 260 kakitangan HEP, dan merupakan lanjutan daripada pelaksanaan program TEKAD Sarawak Energy Berhad (SEB) yang melibatkan 1,019 kakitangan pada penghujung tahun lepas.
AADK Sarawak, pada masa sama, ujarnya, turut mencatatkan kejayaan besar dalam usaha mengurangkan penyalahgunaan dadah di kawasan berisiko tinggi.
Antaranya, melalui Program Inisiatif Pengurangan Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) yang dimulakan pada 2021, AADK Sarawak telah berjaya mengubah enam kawasan berisiko tinggi kepada kawasan hijau dan program itu dijangka berakhir pada tahun ini.
Antara kawasan terlibat adalah Matang dan Kampung Haji Baki di Kuching, Kampung Baru dan Tanjung Bundong di Samarahan serta Bekenu dan Batu Niah di Miri.
“Keberhasilan ini menunjukkan langkah positif dalam usaha mengurangkan prevalens penyalahgunaan dadah di Sarawak.
“Melalui program ini, kami berjaya meningkatkan kesedaran di kalangan penduduk dan memberi perhatian khusus kepada kawasan-kawasan berisiko tinggi.
“Program ini juga menjadi contoh bagi inisiatif berterusan dalam menangani isu penyalahgunaan dadah di seluruh negeri,” katanya.
Mengenai kadar prevalens penyalahgunaan dadah, Hamediee menyatakan bahawa kadar di Sarawak masih terkawal iaitu 369 orang bagi setiap 100,000 penduduk, berbanding kadar prevalens global yang lebih tinggi antara 400 hingga 1,000 orang bagi setiap 100,000 penduduk.
Katanya, ini menunjukkan keberkesanan program-program pencegahan yang dilaksanakan oleh AADK di peringkat negeri.
Selain itu, usaha AADK ini turut menggalakkan penglibatan majikan dalam memerangi penyalahgunaan dadah di tempat kerja melalui program seperti TEKAD dan inisiatif-inisiatif lain yang dirancang oleh AADK.
“Pihak majikan diingatkan untuk memainkan peranan dalam mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan bebas dadah, bagi memastikan kesejahteraan pekerja,” jelas beliau.
Katanya, AADK Sarawak terus komited dalam melaksanakan program pencegahan secara holistik dan berterusan dengan melibatkan kerjasama pelbagai pihak, untuk memastikan persekitaran yang bebas daripada penyalahgunaan dadah.
Oleh Akun Giman