MIRI: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri mengadakan ceramah, mini pameran dan program hebahan bergerak bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid serta komuniti di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Kesseh, Baram, baru-baru ini.
Ketua Unit Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Miri, Mazlan Jikran berkata, program berkenaan berlangsung dari 31 Julai hingga 2 Ogos sempena Program HEM Prihatin, Cegah Dadah, Tingkat Disiplin dan Keselamatan yang turut melibatkan murid dari SK Long Naah.
Beliau berkata, beliau turut menyampaikan ceramah antidadah yang memberi penerangan berkaitan bahaya penyalahgunaan dan penagihan dadah serta kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat.
“Seramai 50 peserta terdiri daripada murid kedua-dua sekolah serta ibu bapa menyertai program tersebut yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato’ Dennis Ngau,” katanya.

Tambahnya, selain ceramah dan pameran, pegawai AADK Daerah Miri turut menyantuni penduduk Long Kesseh menerusi program hebahan bergerak dengan mengedarkan risalah serta memberikan penerangan mengenai perkhidmatan dan inisiatif yang disediakan AADK dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah.
“Kerjasama erat bersama institusi pendidikan amat penting bagi membentuk generasi muda yang bebas daripada gejala dadah, di samping memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, AADK Daerah Miri mengalu-alukan jemputan daripada mana-mana pihak untuk menganjurkan program pendidikan dan pencegahan dadah sebagai usaha berterusan melahirkan komuniti yang lebih sihat serta bebas daripada penyalahgunaan dadah.
Oleh Adum Liu




