
BEKENU: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri telah mengadakan mesyuarat penyelarasan pelaksanaan Program Kem Intelek Asuhan Rohani (PINTAR) 2.0 di Pejabat Mais Daerah Subis, semalam.
Menurut kenyataan AADK Miri, pihaknya sekali lagi memilih Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) Pengekalan di sini selaku lokasi pilihan dalam menjayakan program ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Ketua AADK Miri, Rosmah Nasir serta dihadiri oleh Wakil PPD Subis Irwan Tambi, Timbalan Sektor Pengurusan Murid, Iswaziah Mustafa dan Allen Shia Kwong Sim daripada Sektor Pembangunan Murid.
Kem ini dikelolakan oleh AADK Miri sebagai penganjur dengan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Subis, One Stop Commitee (OSC) Subis, SKUAD Antidadah Miri serta beberapa buah sekolah kebangsaan telah dipilih untuk menjadi peserta dalam kem ini.
Kem PINTAR 2.0 bertujuan membentuk sahsiah murid seawal umur 10 hingga 12 tahun demi memberi kesedaran bahaya penyalahgunaan dadah serta pentingnya mengamalkan gaya hidup sihat tidak kira di sekolah mahu pun di rumah.
Oleh Adum Liu