
BEKENU: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri telah mengadakan satu sesi ceramah dan pameran antidadah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Angus Bekenu sempena Program Minggu Antidadah sekolah berkenaan pada baru-baru ini.
Menurut kenyataan AADK Miri, program tersebut diadakan hasil jemputan pihak sekolah bagi memberi pendedahan awal kepada murid-murid tentang bahaya penggunaan dan penagihan dadah serta bahan terlarang.
Selain itu, program ini turut menekankan kepentingan membudayakan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar sebagai langkah pencegahan awal.
Ceramah telah disampaikan oleh Khairul Fadzli Kedri dari Unit Pencegahan dan Kesedaran Awam AADK Daerah Miri.
Seramai 41 orang murid terlibat, terdiri daripada murid Tahun 1 hingga Tahun 6 sekolah berkenaan.

Sepanjang program berlangsung, murid-murid turut didedahkan dengan maklumat berkaitan jenis-jenis dadah, kesan penyalahgunaan serta kepentingan membuat pilihan bijak dalam kehidupan seharian.
Sesi pameran yang diadakan juga berjaya menarik perhatian para pelajar melalui pendekatan interaktif dan bahan visual yang mudah difahami.
Pihak AADK Daerah Miri menyatakan komitmen berterusan untuk bekerjasama dengan pihak sekolah dalam usaha melahirkan generasi bebas dadah.
Sehubungan itu, AADK Daerah Miri turut mengalu-alukan jemputan daripada mana-mana pihak bagi melaksanakan program pencegahan dan kesedaran antidadah demi kesejahteraan masyarakat.
Oleh Adum Liu