
MIRI: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama Kolej Komuniti dan Skuad Antidadah Miri akan menganjurkan Kem SMART (Sukses, Matang, Aktif, Rasional, Tanggungjawab) bertemakan perkhemahan santai di pantai pada 4 hingga 5 Oktober 2025 ini.
Pegawai AADK Daerah Miri, Mazlan Jikran ketika dihubungi hari ini berkata, program yang bakal berlangsung di 91 Beach Campsite, Beraya, di sini akan menghimpunkan seramai 40 peserta terdiri daripada pelatih Kolej Komuniti dan ahli Skuad Antidadah Miri.
“Tujuan utama kem ini adalah untuk menggerakkan golongan belia agar lebih aktif dalam usaha memerangi ancaman dadah di komuniti masing-masing.
“Kem ini juga memperkukuh semangat kepimpinan dan jati diri,” katanya.
Tambahnya, melalui program ini diharap dapat melahirkan belia yang berkemahiran tinggi, berwawasan, serta bebas daripada pengaruh dadah.
“Peserta turut didedahkan dengan kepentingan menjaga kesihatan serta amalan gaya hidup sihat sebagai benteng utama daripada pengaruh negatif,” katanya lagi.
Justeru, pihak AADK percaya bahawa usaha berterusan melalui pendekatan santai, interaktif dan bersifat mesra belia seperti ini mampu menjadi platform terbaik dalam menyampaikan mesej bahaya dadah secara lebih berkesan.
Oleh Adum Liu